JEMPOL: Lima wanita warga Thailand dijatuhi hukuman denda RM4,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Bahau pada Selasa, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan persundalan pada Oktober lalu.

Majistret, Norshazwani Ishak memutuskan hukuman tersebut selepas tertuduh, Uraiwan Pranomsri; Plumchit Multongka; Weena Chitarka; Suthirak Machalerm dan Kanittha Udtib berusia antara 25 hingga 41 tahun membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 18 Oktober lalu kira-kira jam 5 petang bertempat di sebuah premis di Bahau telah mencari langganan bagi tujuan persundalan.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, kesemua mereka turut mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar syarat pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai tukang urut pada waktu, tarikh dan masa yang sama.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 yang boleh didenda tidak lebih daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,000 setiap seorang bagi pertuduhan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri, manakala tertuduh diwakili peguam Roslaili Alias. - Sinar Harian