SELEPAS mendedahkan tentang rumah tangga bersama suami, Shuk Sahar yang diibaratkan seperti retak menanti belah, Rossa telah mendapat kata-kata semangat daripada netizen.

Semalam, Rossa berkata dia dan Shuk sudah tidak tinggal sebumbung dan sedang dalam proses penceraian.

BACA: Rossa dedah sebulan tidak sebumbung dengan Shuk, dalam proses fail perceraian

Rossa atau nama sebenarnya Rossalennah Natassyiah Asshaferah berkata, selama lima tahun bertahan mental dan emosi, kali ini dia nekad untuk meneruskan perceraian.

"Saya dalam proses failkan cerai terhadap Shuk.

"Saya nekad untuk bercerai kerana hampir lima tahun bertahan dengan penderaan emosi ini. Malah, sejak sebulan lalu kami tidak lagi tinggal bersama,” katanya.

Sementara itu tinjauan Gempak di akaun Instagram Rossa mendapati, rata-rata pengikut mendoakan urusan ibu kepada dua orang anak itu dipermudahkan.

Malah ada di antara mereka yang mahu Rossa mengikut jejak Intan Saleh yang cekal dan tabah selepas mengharungi dugaan sama beberapa tahun lalu.

“Langit tak selalu mendung hujan dan ribut taufan. Di sebalik kebasahan dan kegelapan, pasti tersembunyi pelangi nan indah menanti untuk muncul.

“Lihatlah Intan Saleh, bahagia yang mulai menjelang, Insya-Allah untuk selamanya dan kebahagian sebenar akan menjadi milik Rossa.

“Yakinlah Sera, awak layak untuk bahagia walaupun bukan bersama Shuk tu. Sera awak cantik tau, ramai lagi yang lebih baik, hensem dari tu.

"Please move on, you can do it!” tulis seorang pengikut.

Selain itu ada juga yang menasihati Rossa supaya kekal dengan pendiriannya kali ini supaya tidak dituduh sengaja mencipta drama demi untuk melariskan jualan produk.

Dalam pada itu, Gempak cuba menghubungi Shuk untuk mendapatkan maklum balas, namun hantaran mesej menerusi aplikasi WhatsApp tidak dibalas.

Bagaimanapun Gempak akan cuba untuk mendapatkan Shuk bagi mengulas mengenai pendedahan isterinya ini.


*Artikel asal di Gempak