AKTA Parlimen Berpenggal Tetap (APBT): Soalan-soalan lazim (FAQs) dan jawapan oleh Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Sama)


S1. Apakah ciri-ciri utama APBT yang dicadangkan oleh Projek Sama?

APBT yang dicadangkan oleh Projek Sama adalah satu idea yang mudah tetapi berimpak besar iaitu: Parlimen akan berlangsung menggenapi penggalnya selama lima (5) tahun melainkan salah satu daripada dua keadaan kekecualian ini berlaku:


(a) Perdana Menteri hilang keyakinan Dewan Rakyat; ATAU,
(b) Dua pertiga atau lebih ahli Dewan Rakyat meluluskan sebuah usul untuk memohon pembubaran lebih awal.

Kedua-dua kekecualian ini dirangka sebagai hasil aktiviti biasa Parlimen. Kedua-dua kekecualian ini tidak memintas atau melunturkan mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 40 dan 43 yang memaklumkan pembentukan dan pemecatan kerajaan.

S2. Dalam APBT yang dicadangkan, apakah yang akan menyebabkan hilangnya keyakinan terhadap kerajaan?

Kerajaan dianggap hilang keyakinan Dewan Rakyat hanya jika berlaku:-
(a) Usul tidak percaya kepada Perdana Menteri diluluskan di Dewan Rakyat; ATAU
(b) Sesuatu usul percaya kepada Perdana Menteri dikalahkan di Dewan Rakyat; ATAU
(c) Pembentangan Bajet (RUU Perbekalan) dikalahkan dalam bacaan kedua atau ketiga.

Ini secara jelas mengecualikan pengiraan Akuan Berkanun (SD) sebagai kaedah untuk menentukan kehilangan keyakinan kepada kerajaan. Sebarang usul percaya atau tidak percaya mesti dijadikan keutamaan di Dewan Rakyat, dan sebagai pakej persidangan, prosedur untuk meluluskan usul percaya atau tidak percaya hendaklah dinyatakan dengan jelas dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

S3. Apakah kesan positif yang boleh dibawa untuk Malaysia oleh APBT yang dicadangkan ini?

Pertama, pemecatan kerajaan hanya boleh dilakukan secara telus di Dewan Rakyat. Ia tidak boleh dilakukan oleh sebarang proses yang diselubungi kerahsiaan, seperti pengiraan SD.

Kedua, kuasa untuk mendapatkan perkenan diRaja bagi pembubaran awal Parlimen akan dikongsi di kalangan ahli Parlimen. Kuasa ini tidak lagi akan dimonopoli oleh Perdana Menteri.

Ketiga, melainkan jika salah satu daripada keadaan kekecualian berlaku, tarikh pembubaran Parlimen akan diketahui lima tahun lebih awal. Jangka hayat yang terjamin ini akan meningkatkan kebolehramalan, kestabilan kerajaan dan dasar-dasarnya.

S4. Adakah APBT yang dicadangkan ini akan menjejaskan kuasa YDPA di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan?

Sama sekali tidak. APBT yang dicadangkan ini langsung tidak menjejaskan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tetap boleh bertindak mengikut budi bicaranya untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen.

Akta ini hanya mengekang kuasa budi bicara Perdana Menteri dalam memohon perkenan Seri Paduka Baginda YDPA untuk pembubaran awal. Jika dia masih mendapat kepercayaan Dewan Rakyat, dia perlu berkongsi kuasa itu dengan ahli-ahli Parlimen lain yang cukup membentuk majoriti dua pertiga.

Tanggapan salah bahawa Seri Paduka Baginda YDPA akan kehilangan kuasa jika APBTyang dicadangkan ini timbul daripada andaian yang salah bahawa akta ini mestilah salinan karbon APBT di United Kingdom (UK) pada tahun-tahun 2011-22 yang dilahirkan dalam konteks Perlembagaan yang jauh berbeza. UK tidak mempunyai Perlembagaan bertulis dan selepas 1834, raja-rajanya berada di atas politik kepartian.

S5. Adakah APBT yang dicadangkan ini akan menafikan kebebasan memilih ahli Parlimen?

Sama sekali tidak. APBT yang dicadangkan ini akan menghasilkan pengutamaan undi percaya dan tidak percaya dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Pengutamaan ini akan meningkatkan hak kolektif ahli Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan.

Menandatangani SD tidak bererti kebebasan memilih. Sebaliknya, menandatangani SD adalah penolakan terhadap jangkaan pengundi yang tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa ahli Parlimen mesti mengundi dalam Dewan Rakyat atas pembentukan dan pemecatan kerajaan.

S6. Adakah APBT yang dicadangkan ini akan mengekalkan kerajaan yang lemah atau tidak popular?

Sama sekali tidak. Memandangkan APBT yang dicadangkan ini akan menyebabkan pengutamaan usul percaya dan tidak percaya dalam Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, kerajaan yang lemah dan tidak popular boleh dijatuhkan dengan lebih mudah. APBT yang dicadangkan hanya membasmi penggunaan dan penyalahgunaan SD dan dengan itu melindungi kerajaan daripada spekulasi dan gangguan politik tanpa henti-henti.

S7. Adakah APBT yang dicadangkan ini bersifat anti-demokratik apabila ia tidak membenarkan pembubaran awal Parlimen apabila perlu?

Ini adalah tanggapan yang salah terhadap APBT yang dicadangkan ini. Ia timbul dalam fikiran mereka yang membaca perkataan "Berpenggal Tetap" tanpa mengkaji butirannya.

Kedua-dua APBT di UK dan yang dicadangkan untuk Malaysia oleh Projek Sama membenarkan pembubaran awal Parlimen. Kedua-duanya hanya mengehadkan keadaan yang dibenarkan untuk pembubaran awal kepada dua keadaan kekecualian, iaitu kerajaan kehilangan majoriti atau sokongan daripada dua pertiga atau lebih ahli Parlimen untuk pembubaran awal.

APBT yang dicadangkan ini bermaksud Perdana Menteri tidak lagi berkuasa monopoli untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda YDPA bagi pembubaran awal tetapi sebaliknya kuasa ini dikongsi dengan ahli-ahli Parlimen lain yang cukup membentuk majoriti dua pertiga. Mengapa kita harus menyamakan demokrasi dengan kuasa dominan seorang Perdana Menteri? Malahan, APBT lebih demokratik berbanding dengan status quo sekarang di mana kuasa budi bicara untuk memohon pembubaran awal dimonopoli oleh Perdana Menteri seorang.

Pada masa ini, pembubaran awal memerlukan perkenan Seri Paduka Baginda YDPA sebagai mekanisme perlindungan terhadap permintaan sesuka hati oleh Perdana Menteri.

APBT yang dicadangkan ini hanya menambahkan mekanisme perlindungan tambahan (sokongan dua pertiga daripada Dewan Rakyat) tanpa menjejaskan perlindungan asal (pekenan Seri Paduka Baginda YDPA). Kedua-dua mekanisme perlindungan tidak bersifat antidemokratik.

S8. Adakah APBT yang dicadangkan ini berjaya berfungsi untuk UK?

Jika tidak, bagaimana ia boleh berfungsi untuk Malaysia?

APBT di UK diperkenalkan pada 2011 untuk mengekalkan kerajaan gabungan Konservatif Liberal Demokrat untuk penggal penuhnya agar Perdana Menteri Parti Konservatif tidak boleh secara sendiri (unilateral) memanggil pilihan raya awal tanpa persetujuan daripada rakan gabungan Liberal Demokrat.

APBT di UK telah berfungsi seperti yang dimaksudkan untuk dua pilihan raya umum, pada 2015 dan 2017.

Dalam krisis Brexit, ia menghalang Kerajaan Konservatif di bawah Perdana Menteri Theresa May dan Boris Johnson daripada memanggil pilihan raya kilat (snap election) untuk menamatkan kebuntuan itu, sehingga Johnson menggubal satu undang-undang baharu untuk memintasi APBT.

Ringkasnya, APBT UK dilihat sebagai masalah apabila penentang Brexit mahu Kerajaan berlangsung untuk penggal penuh supaya Parlimen mempunyai lebih banyak masa untuk berbincang dan memutuskan isu Brexit yang memecahbelahkan masyarakat UK.

Sebaliknya, Malaysia memerlukan akta Ini untuk menghalang pembangkang daripada mewujudkan ketidakstabilan politik dengan ancaman memendekkan tempoh Kerajaan sekalipun mereka tidak mempunyai bilangan untuk berbuat begitu.

Oleh itu, walaupun ada yang menganggap bahawa APBT telah gagal di UK, ia akan tetap berfungsi di Malaysia dengan menstabilkan politik. Memandangkan Malaysia tidak mempunyai konvensyen Perlembagaan yang boleh menyekat pelaku-pelaku politik, APBT yang dicadangkan ini boleh memberi Malaysia satu mekanisme yang amat diperlukan dalam menentukan keyakinan Dewan Rakyat terhadap Kerajaan, dan untuk kesejahteraan demokrasi berparlimen dan institusi raja berperlembagaan.

S9. Jika APBT di UK tidak dapat menghalang pemintasannya, bagaimana ia boleh mengelak nasib yang sama di Malaysia?

Walaupun APBT UK mengenakan ambang majoriti dua pertiga untuk meluluskan usul yang menggesa pilihan raya umum awal, meminda dan memansuhkan APBT hanya memerlukan majoriti mudah. Oleh itu, ini membolehkan Perdana Menteri Boris Johnson memintasnya dengan meluluskan satu undang-undang baharu pada November 2019 dan menetapkan tarikh pilihan raya awal. Tanpa ambang lulus yang lebih tinggi, perubahan yang diperkenalkan kepada APBT mungkin "didorong oleh insentif politik jangka pendek dan bukannya prinsip teguh atau visi jangka panjang."

Untuk mengelakkan ini berlaku, APBT yang dicadangkan untuk Malaysia harus mengenakan ambang majoriti dua pertiga untuk memansuhkan APBT atau meminda peruntukan-peruntukan pokoknya berkaitan usul memohon pembubaran awal.

S10. Selain UK, negara demokrasi manakah yang mempunyai perundangan untuk Parlimen berpenggal tetap?

Walaupun Parlimen UK telah mansuhkan APBT 2011 pada 2022, Dewan-dewan perundangan wilayah di Scotland, Wales dan Ireland Utara telah menggubal undang-undang Parlimen Berpenggal Tetap mereka beberapa tahun lebih sebelum APBT 2011 digubal oleh Dewan Rakyat (House of Commons) UK.

Sebagai contoh, Parlimen Scotland telah mengadakan enam pilihan raya umum yang ditetapkan pada Khamis pertama dalam bulan Mei sejak 1999 mengikut jadual, kecuali untuk menangguhkan selama setahun pada 2015 dan 2020 untuk mengelakkan pertembungan dengan tarikh pilihan raya umum UK.

Undang-undang Parlimen/Dewan Perundangan Penggal Tetap juga diterima pakai di Norway, Kanada (peringkat Persekutuan dan provinsi), Australia (peringkat negeri) dan Afrika Selatan.

S11. Bolehkah seorang Perdana Menteri memintas APBT yang dicadangkan ini untuk mendapatkan pilihan raya awal jika tiada sokongan majoriti dua pertiga dengan membentangkan usul tidak percaya terhadap dirinya?

Ya, ini mungkin. Jika Perdana Menteri atau partinya membentangkan satu usul tidak percaya terhadap dirinya dan diluluskan, beliau boleh memohon perkenan Seri Paduka Baginda YDPA untuk pembubaran awal. Walau bagaimanapun, ini akan menjejaskan keabsahan Perdana Menteri dan oleh itu, kurang dorongan untuk berbuat sedemikian.

Lagipun ia tetap akan gagal jika Seri Paduka Baginda YDPA tidak memperkenankannya.

S12. Adakah APBT yang dicadangkan ini merupakan satu reformasi cebisan (piecemeal) yang muncul secara tiba-tiba sebagai tindak balas kepada "Langkah Dubai"?

Sama sekali tidak. Idea ini dicetuskan selepas "Langkah Sheraton" sebagai sebahagian daripada pakej reformasi untuk mengurangkan kemelut politik dan majoritarianisme (mentaliti si pemenang dapat semua).

Pada Ogos 2021, selepas kejatuhan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersih, bersama ABIM dan
Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), mengeluarkan kenyataan bersama menggesa satu Pakej Kestabilan Politik Rentas Parti antara kerajaan dan pembangkang dengan 10 reformasi yang merangkumi. Gesaan ini, tidak termasuk akta parliamen penggal tetap, akhirnya diterima oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan satu Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan.
https://bersih.org/2021/08/16/new-government-must-pursue-stability-through-multipartisangovernance-and-institutional-reforms/

Pada Oktober 2021, Bersih menerbitkan laporan bertajuk "Parlimen dalam Pembentukan Kerajaan" oleh pakar Parlimen Maha Balakrishnan, meneliti parlimen berpenggal tetap dan langkah-langkah lain yang boleh mengukuhkan demokrasi berparlimen.
https://bersih.org/download/parliament-in-government-formation/

Selepas itu, pada November 2022, Pakatan Harapan menjanjikan Parlimen berpenggal tetap dalam manifesto PRU15 terkandung dalam ‘Bab 15 Mengukuhkan Integriti Institusi’.
https://kitaboleh.my/

Langkah Dubai – satu lagi percubaan untuk menggugat kestabilan politik Malaysia – sekadar menggariskan betapa perlunya APBT sebagai mekanisme untuk menolak penukaran dan pembentukan kerajaan dengan pengiraan SD.

S13. Adakah terdapat sebarang pembaharuan lain yang harus seiring dengan APBT yang dicadangkan ini supaya ia berfungsi dengan lebih berkesan?

Ada. APBT yang dicadangkan ini mesti disertakan dengan pindaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengkodifikasikan prosedur usul percaya dan tidak percaya.

Satu lagi mekanisme perlembagaan yang berkaitan ialah undi percaya pengesahan (Confirmatory vote of Confidence - CVC) bagi setiap Perdana Menteri baharu selepas pelantikannya di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Ini akan mempertingkatkan keabsahan Perdana Menteri dan memperkasakan kedua-dua demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Untuk menggalakkan kestabilan dan akauntabiliti dalam demokrasi berbilang parti, keduadua APBT yang dicadangkan ini dan CVC harus diikuti oleh reformasi lain seperti, tetapi tidak terhad kepada, had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri; Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA); pengiktirafan Kabinet Bayangan; lebih banyak jawatankuasa parlimen; masa urusan bukan kerajaan dalam persidangan parlimen; undang-undang untuk Dana Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama; Akta Pendanaan Politik yang merangkumi pembiayaan awam untuk parti politik; pemisahan institusi Pendakwa Raya daripada Peguam Negara; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bebas yang bertanggungjawab kepada Parlimen; serta, desentralisasi dan demokrasi tempatan untuk seluruh Malaysia.

S14. Mengapakah APBT yang dicadangkan ini yang dicadangkan perlu diutamakan berbanding reformasi lain yang telah dianjurkan lebih lama?

Kita harus merebut setiap peluang untuk melaksanakan reformasi apabila keperluannya tertonjol. Mengamalkan sikap maksima bahawa semua pembaharuan mesti berlaku sekali gus adalah naif dan tidak strategik, dan hanya mengakibatkan peluang terlepas.

Walau apa pun, apabila demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan diancam oleh penyalahgunaan SD sebagai cara untuk menyebarkan ketidakstabilan politik, APBT yang dicadangkan ini tidak seharusnya dilengahkan hanya kerana persepsi yang salah dan merasa tidak biasa. Sebaliknya, lebih banyak perbahasan dan perbincangan awam diperlukan untuk memperdalamkan pemahaman dan meluaskan sokongan terhadap APBT yang dicadangkan ini.

S15. Adakah cadangan APBT yang dicadangkan ini akan mengikat semua Parlimen akan datang atau hanya Parlimen ke-15?

APBT yang dicadangkan ini boleh digubal untuk mengikat hanya Parlimen ke-15 atau kedua-dua Parlimen ke-15 dan semua Parlimen akan datang. Ini sepatutnya menjadi perkara utama dalam perbahasan awam.

S16. Secepat manakah cadangan APBT yang dicadangkan ini boleh digubal?

Ini bergantung kepada tekad politik Kerajaan dan juga tahap kemajuan dalam libaturus dan perbahasan awam. Rang Undang-undang untuk APBT yang dicadangkan ini dan juga pindaan yang diperlukan ke atas Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat adalah mudah, tidak rumit, dan boleh memanfaati daripada penyelidikan yang telah dilakukan di dalam dan di luar Malaysia. Jika penerimaan orang awam adalah tinggi, rang undang-undang itu mungkin boleh dibentangkan pada pertengahan 2024 dan menoktahkan konspirasi untuk menggugat kestabilan politik Malaysia seperti Langkah Dubai.



* Jawapan kepada Soalan-Soalan Lazim (FAQ) dan jawapan ini diusahadayakan oleh Projek - Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama), sebuah inisiatif masyarakat sivil untuk mendukung pembaharuan institusi demi kestabilan politik dan akauntabiliti semasa Malaysia mengharungi landskap politik baru dengan Parlimen tergantung dan kerajaan gabungan. Demi Malaysia, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Ngeow Chow Ying bertindak sebagai konvenornya. Anda boleh menghubungi beliau dan Projek Sama di 016-6731909 atau [email protected]


** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.