Kalangan ahli ekonomi memuji pendirian kerajaan untuk memanfaatkan pinjaman domestik bagi membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disifatkan sebagai tepat serta wajar.

Dua pakej bantuan kewangan yang diumumkan baru-baru ini adalah terbesar dalam sejarah negara - PRIHATIN berjumlah RM260 bilion manakala PENJANA sebanyak RM35 bilion berbanding RM67 bilion yang dibelanjakan bagi menangani impak negatif ketika krisis kewangan global lebih sedekad lepas.

Walaupun membabitkan angka besar pada kali ini, ahli ekonomi itu berpendapat perbelanjaan tersebut adalah wajar berikutan impak akibat penularan COVID-19 yang jauh lebih buruk berbanding krisis ekonomi global pada 2009.

"Malah, krisis COVID-19 ini dialami hampir semua negara baik yang bergelar negara maju serta kurang maju dengan impaknya yang jauh lebih buruk," kata ahli ekonomi MIDF Research, Mazlina Abdul Rahman dalam temu bual dengan Bernama.

Setakat ini, jumlah suntikan fiskal terhadap pakej rangsangan tersebut mencecah RM45 bilion.

"Sebarang usaha meningkatkan perbelanjaan dalam keadaan hasil yang merosot akan menyukarkan kedudukan fiskal kerajaan bagi tahun ini. Faktor seperti penyusutan harga minyak global dan jangkaan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 akan menjejaskan lagi hasil yang diraih kerajaan.

"Kerugian dialami perniagaan serta pengecualian cukai yang diumumkan dalam pakej rangsangan termasuk PENJANA, akan turut mengurangkan jumlah kutipan cukai kerajaan," katanya.

Namun, Mazlina berkata ini merupakan satu trend global ketika kebanyakan negara terpaksa menyuntik wang bagi mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik tersebut.

Ini termasuk pakej rangsangan yang diumumkan oleh negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia yang setara dengan Malaysia.

Singapura misalnya menyuntik sokongan berjumlah S$92.9 bilion yang akan menjadikan jumlah defisit republik itu mencecah 15.4 peratus daripada KDNK.

Mazlina berkata biarpun pinjaman domestik mewakili sebahagian besar jumlah pinjaman kerajaan, langkah itu turut bergantung kepada beberapa keadaan.

"Pada 2019, dianggarkan 74 peratus daripada hutang awam dipinjam daripada sumber domestik manakala bakinya daripada asing.

"Keputusan untuk berhutang menerusi sumber domestik atau asing akan bergantung kepada kadar faedah. Secara amnya, jika kadar (pinjaman) tempatan lebih rendah berbanding asing, hutang dalam negara akan meningkat... jika lebih tinggi maka hutang luar akan meningkat.

"Bagaimana pun, langkah pembiayaan pakej rangsangan menerusi sumber domestik itu merupakan keputusan tepat kerana ia menyebabkan kurang terdedah kepada (risiko) perubahan kadar faedah asing khususnya dalam penularan pandemik ketika ini. Malah, ia (pinjaman menerusi sumber domestik) adalah di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia," katanya.

Sementara itu, ahli akademik kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata pinjaman domestik tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara.

"Sebagai contoh (jika kita meminjam daripada) Tabung Kewangan Antarabangsa yang amat ketat (peraturannya) sedangkan pinjaman domestik ini lebih banyak kelonggaran memandangkan wang itu masih berada di dalam negara," katanya.

Beliau berkata dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini juga perlu untuk mengelak berlakunya masalah sosioekonomi lain seperti peningkatan pemberhentian pekerja dan kadar jenayah yang akan mencetuskan kekacauan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Mazlina juga berpandangan pinjaman domestik itu turut membabitkan pendedahan kepada risiko penyusutan mata wang yang lebih rendah kerana hutang tersebut dalam denominasi ringgit.

"Pada 2019, hutang dalam denominasi ringgit adalah 96.4 peratus daripada keseluruhan hutang kerajaan manakala bakinya pula dalam denominasi mata wang asing," katanya.

Selain itu, dasar monetari dan fiskal dilihat perlu dilaksanakan ketika berlakunya kelembapan atau kemelesetan ekonomi.

"Walaupun kaedah yang digunakan mengikut dasar ini berbeza namun matlamatnya sama. Gabungan kedua-duanya akan mempercepat pemulihan ekonomi," katanya.

Beliau berkata semasa krisis kewangan global 2009, defisit belanjawan kepada KDNK adalah 6.7 peratus berikutan suntikan fiskal.

Pada masa sama, kadar dasar semalaman (OPR) juga dikurangkan kepada 2.0 peratus, yang terendah setakat ini.

"Saya yakin, gabungan kedua-dua ini akan membantu Malaysia pulih dengan pantas daripada krisis ini. Penurunan kadar faedah akan mengurangkan beban pemilik rumah dan perniagaan, sekali gus membolehkan ekonomi pulih kembali," katanya.

Bagaimanapun, semasa tempoh kemelesetan, Mazlina berkata langkah itu mungkin tidak mencukupi kerana lazimnya wujud perangkap mudah tunai disebabkan kadar faedah rendah serta ditambah dengan pengguna yang memilih untuk menyimpan berbanding melabur.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memainkan peranan dengan membayar skim pelaburan baharu dan mewujudkan pekerjaaan secara langsung.

Mengenai sasaran untuk mengecilkan semula defisit fiskal kepada kurang 4.0 peratus daripada KDNK bagi tempoh tiga tahun akan datang, Mazlina berkata ia boleh dicapai memandangkan kebanyakan insentif yang diumumkan menerusi pakej rangsangan berkenaan adalah bersifat sekali bayar.

"Berlandaskan rangsangan itu, ekonomi ini dijangka lebih baik, hasil akan meningkat dan defisit akan turun," katanya.

Setakat 2019, beliau berkata nisbah hutang kerajaan Persekutuan kepada KDNK adalah 52.5 peratus.

"Tertakluk kepada peraturan had nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pada 55 peratus dan penyusutan KDNK dijangka tahun ini, kapasiti fiskal yang tersedia mengalami kekangan. Berdasarkan keseluruhan suntikan fiskal berjumlah RM45 bilion, kami berpandangan hutang kerajaan akan meningkat melebihi 55 peratus pada 2020.

"Oleh itu, kami percaya kerajaan perlu meningkatkan peraturan mengenai had daripada 55 peratus kepada mungkin 60 peratus supaya lebih banyak ruang fiskal tersedia bagi perbelanjaan masa depan yang, sudah pasti, tertakluk kepada kelulusan Parlimen," kata Mazlina.

-- BERNAMA