Malaysia intai kerjasama dengan India, Iran dalam telekomunikasi, keselamatan dalam talian - Fahmi

Fahmi hadir pada pembukaan Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Pusat Konvensyen Baku, Baku, Azerbaijan, 17 Nov 2025. -- fotoBERNAMA
BAKU (Azerbaijan): Malaysia sedang meneliti peluang kerjasama dengan India dan Iran dalam bidang telekomunikasi, khususnya berkaitan keselamatan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Malaysia sedang meneliti kerjasama dengan India dan Iran dalam bidang telekomunikasi, khususnya berkaitan keselamatan dalam talian.
- Potensi kerjasama termasuk mengatasi masalah scam, keselamatan dalam talian, dan membangunkan aplikasi telekomunikasi yang membantu rakyat.
- Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang telekomunikasi dengan Iran; juga mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) pada pemilihan November 2026.
"Ini terutamanya pengalaman mereka mengatasi masalah scam, masalah keselamatan dalam talian dan juga beberapa aplikasi telekomunikasi yang dapat membantu rakyat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Timbalan Pengarah Urusan MCMC Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, dan Setiausaha Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi Ahmad Norhad Zahari.
Menurut Fahmi, hubungan baik Malaysia dengan India dan Iran akan dimanfaatkan untuk pembangunan sektor telekomunikasi, sejajar dengan aspirasi negara untuk memperkukuh infrastruktur digital dan keselamatan dalam talian.
Beliau berkata satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Iran dalam bidang telekomunikasi sedang dirangka dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"(MoU) itu sekarang dalam proses penelitian kementerian dan saya percaya dalam masa yang tak terlalu lama, kita bersedia untuk menandatangani satu MoU bersama Iran.
"Kita ada satu (MoU) dengan India pada waktu ini, dan saya percaya agak menarik untuk kita cuba faham keadaan yang unik yang dihadapi oleh negara seperti Iran," katanya.
Selain peluang kerjasama, beliau turut menyampaikan kepada kedua-dua rakan sejawatnya berkenaan hasrat Malaysia mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam pemilihan yang akan berlangsung pada November 2026.
"Pengalaman Malaysia dalam Majlis ITU telah memberikan kita peluang untuk bukan hanya bersuara dalam perkara-perkara tertentu melibatkan isu standard, isu piawaian, telekomunikasi, 5G dan sebagainya, tapi juga menyatakan dan menyampaikan pengalaman kita menguruskan isu-isu seperti capaian Internet di kawasan luar bandar dan kawasan terpencil, melalui program seperti program Jalinan Digital Negara (JENDELA)," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


