KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 baru-baru ini, adalah praktikal memandangkan ia dibuat selepas mengambil kira situasi semasa kes jangkitan penyakit itu yang kian berkurangan.

Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Radzniwan Abd Rashid berkata langkah berkenaan juga tepat, susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bahawa COVID-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global.

"Saya berpendapat tindakan kerajaan melonggarkan SOP ini memang tepat pada masanya dan bersifat dinamik, mengambil kira keadaan kes COVID-19 ketika ini. Dengan pengumuman ini, saya pasti ada kelegaan dalam kalangan rakyat Malaysia, kerana SOP yang jelas telah diumumkan," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Mohd Radzniwan berkata tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyemak semula SOP COVID-19 itu dilakukan berdasarkan kajian dan bukan disebabkan desakan oleh mana-mana pihak.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan memaklumkan, tempoh pengasingan kes disahkan COVID-19 dipendekkan daripada tujuh kepada lima hari mulai 5 Julai ini, kerana kajian mendapati infektiviti kes COVID-19 tinggi pada lima hari pertama.

Beliau juga berkata pesakit COVID-19 yang dahulunya diwajibkan memakai pelitup muka dalam kenderaan awam dan fasiliti kesihatan, kini hanya dikehendaki (bukan wajib) memakai pelitup muka ketika berada di kedua-dua lokasi berkenaan.

Bagaimanapun Dr Zaliha berkata pemakaian pelitup muka amat digalakkan bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung, terutama ketika berada di tempat sesak dan kawasan pengudaraan kurang baik.

Mengenai keputusan kerajaan melanjutkan status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang berakhir hari ini (30 Jun) untuk tempoh enam bulan lagi hingga 31 Dis 2023, Radzniwan berkata tempoh itu sesuai untuk membolehkan kerajaan terus memantau trend penularan wabak COVID-19.

"Namun sekiranya pemantauan menunjukkan jumlah kes kemasukkan ke hospital dan ICU, serta jumlah kematian yang mendadak, kerajaan harus menilai semula SOP ini," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata langkah yang diambil kerajaan, seiring dengan keadaan COVID-19 semasa.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 bukan lagi kecemasan global kira-kira hampir dua bulan lalu.

"Kerajaan telah melanjutkan lagi tempoh sejak pengumuman WHO tersebut, dengan mempertimbangkan semua keadaan bagi memastikan kita benar-benar selamat," katanya.

Beliau berkata kes sedia ada memang sudah dalam julat terkawal dan tiada ancaman wabak dengan kes yang menurun sebanyak 53.5 peratus (5,801 kes kepada 2,698 kes) dan kes kematian 35.3 peratus (17 kes kepada 11 kes) sejak lima minggu kebelakangan ini.

"Keputusan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dibuat berdasarkan bukti saintifik serta dapatan situasi semasa di Malaysia selepas penilaian risiko," katanya.

-- BERNAMA