Ketika Barisan Nasional (BN) bersiap sedia menyertai persaingan sengit untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek muncul sebagai tokoh terbaru yang menawarkan diri untuk tidak menjadi calon untuk memberi kesegaran kepada parti gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dalam isyarat jelas kepada pengundi tentang kesungguhan MCA untuk memperkasakan semula dirinya dan menggilap pemimpin baharu, Dr Chua, yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-65 tiga hari sebelum tarikh PRU13 pada 5 Mei, berkata beliau akan menerajui kempen parti itu, tetapi tidak akan bertanding sebagai calon.

Sebelum ini, dua lagi pemimpin parti komponen BN mengumumkan mereka memberi laluan kepada muka baharu, iaitu presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Sambil menyifatkan pilihan raya umum kali ini sebagai 'ibu segala pilihan raya', Dr Chua berkata hampir separuh daripada calon MCA bagi kerusi Parlimen dan negeri kali ini terdiri daripada muka baharu.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menerajui BN menghadapi pilihan raya umum untuk julung kalinya setelah empat tahun menyandang jawatan perdana menteri, terus mengingatkan rakyat bahawa tiada keperluan untuk menukar kerajaan semata-mata untuk membuat perubahan kerana BN telah membuktikan kemampuannya untuk melaksanakan perubahan demi kebaikan rakyat.

"Kami mampu membuat perubahan secara besar-besaran sekiranya rakyat mahukannya dan tidak perlu menukar kerajaan. Perubahan besar boleh dilaksanakan oleh kerajaan yang sama," kata Najib ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang di Kuantan, Khamis.

Beliau kemudian melawat Kampung Orang Asli Gumum di Chini dan memberi jaminan kepada masyarakat itu bahawa BN akan terus menjaga kebajikan mereka kerana di bawah dasar 1Malaysia, BN mengambil berat kepentingan semua masyarakat di negara ini.

BN juga melancarkan manifesto tambahannya untuk Kelantan dengan berjanji akan membawa masa depan yang lebih baik untuk negeri itu, yang ketinggalan sejak 23 tahun lepas di bawah pentadbiran PAS.

Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sekiranya pemilih memberi undi kepada BN, Kelantan akan menikmati landskap baharu dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk kewujudan 30,000 peluang pekerjaan serta pelaksanaan langkah untuk melahirkan lebih ramai cerdik pandai dan pemimpin muda yang berbekalkan nilai-nilai keislaman.

Sementara itu, presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin tidak dikekalkan sebagai menteri besar Selangor sekiranya parti itu terus mentadbir negeri berkenaan kerana terdapat beberapa calon berpotensi untuk menyandang jawatan itu selain beliau.

"Siapa pun boleh menjadi MB (menteri Besar) di Selangor, asalkan dia mempunyai dasar yang betul," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Setakat ini, PKR mengesahkan Abdul Khalid akan mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan tidak menyebut sama ada beliau akan bertanding sekali lagi bagi kerusi Ijok atau dipindah bertanding di Pelabuhan Klang.

Menjelang hari penamaan calon pada 20 April ini, PKR dan PAS bertelagah tentang siapa yang akan bertanding di kerusi negeri Changkat Jering, Perak dan kerusi negeri Sungei Acheh, Pulau Pinang.

PAS mengumumkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan bertanding di kerusi negeri Changkat Jering, tetapi PKR berkata perkara itu akan hanya terjadi sekiranya kerusi Changkat Jering ditukar dengan satu kerusi yang ditandingi PAS sebelum ini.

Bagi kerusi Sungai Acheh, PAS memilih ketua pemuda negeri Yusni Md Piah sebagai calonnya. PKR pula berhasrat meletakkan Badrul Hisham Shahrin, juga dikenali sebagai Chegu Bard, untuk bertanding di situ.

Di Tampin, DAP kehilangan tujuh pemimpin kanan cawangan apabila mereka membuat keputusan menyokong BN kerana mendapati parti gabungan itu memperjuangkan kepentingan masyarakat India.

"Kami telah melihat manifesto pembangkang semasa Pilihan Raya Umum 2008 di Selangor, tapi (setelah mereka gagal menunaikannya), mereka kata manifesto mereka bukan suatu janji dan ini berbeza dengan Aku Janji yang dibuat BN," kata naib pengerusi DAP Ladang Paroi, David Dass selepas menyampaikan ceramah di Ladang Rajent, Gemencheh di sini malam tadi.

Pemimpin lain yang menurut jejak beliau ialah pengerusi DAP Desa Dahlia, Richard Francis, naib pengerusi DAP Desa Dahlia, Jesu Dason, setiausaha DAP Desa Dahlia, S. Karthiyaini, setiausaha DAP Ladang Rajent, Chelvam Katham, naib pengerusi DAP Ladang Rajent, M. Subramaniam dan setiausaha DAP Ladang Paroi, K. Mahendran.