NATIONAL
Langkah Sihat Putrajaya 2025 sasar lebih ramai peserta promosi 10,000 langkah sehari

Dr Dzulkefly bergambar bersama peserta Syawal Fun Walk di Putrajaya, pada Ahad. - Facebook KKM
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan lebih 13,000 penyertaan dalam Cabaran Langkah Sihat Putrajaya Antara Kementerian tahun ini yang akan berlangsung pada 13 hingga 27 Mei depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi membantu menyemarakkan lagi pembudayaan amalan 10,000 langkah sehari sebagai norma dalam sektor awam.
Jelas Dr Dzulkefly, penjawat awam dikenal pasti berisiko paling tinggi untuk mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.
"KKM telah mewujudkan dan menjalin satu usahasama strategik dengan Neupulse Sdn Bhd untuk memperkenal platform digital Biib bagi menjejak dan melapor aktiviti fizikal."Saya harap dengan kita memulakan dan membudayakan (acara) ini, warga Putrajaya khasnya dan seluruh rakyat Malaysia dapat melihat bahawa Kerajaan MADANI mengambil tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kesihatan, kerana di situlah bermula keberkesanan program kesihatan yang kita jalankan," katanya.
Cabaran itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Tambah Dr Dzulkefly, PSS akan diperluaskan dalam kalangan penjawat awam di seluruh negara tidak lama lagi, dalam satu inisiatif utama yang dipanggil Penjawat Awam Sihat Sejahtera.
Buat masa ini, sesi libat urus sedang dijalankan dengan kerajaan negeri terutama bagi mendapatkan status kesihatan penjawat awam di setiap kementerian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan sambutan World Physical Activity Day (WOPAD) peringkat kebangsaan, pada Ahad.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
World Physical Activity Day merupakan inisiatif global yang disambut pada 6 April setiap tahun, diadakan bersempena inisatif Car Free Day Putrajaya.
Sambutan turut dimeriahkan dengan aktiviti Syawal Fun Walk yang disertai kira-kira 3,000 peserta.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Dr Dzulkefly memaklumkan setakat jam 3 petang semalam, sejumlah 150 mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights telah mendapat rawatan di beberapa buah fasiliti kesihatan awam dan swasta.
Daripada jumlah itu, 120 telah didiscaj manakala baki 30 masih menerima rawatan, termasuk satu di unit rawatan rapi (ICU).
"13 mangsa dirawat di fasiliti KKM, manakala 17 di fasiliti swasta termasuk satu kes di unit rawatan rapi (ICU). Setakat ini, saya dimaklumkan keadaan mangsa bertambah baik," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami