PUTRAJAYA: Proses perbincangan untuk pelantikan Timbalan Menteri sudah bermula dan akan diuruskan dalam minggu ini juga.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, perkara itu turut disentuh dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Isnin dan beliau menjangkakan Istiadat Angkat Sumpah dalam satu atau dua minggu lagi.

"Dari segi berapa jumlah dari gabungan, ia nanti akan bergantung kepada jumlah sumbangan Ahli Parlimen itu sendiri.

"Perdana Menteri akan tentukan portfolio yang dirasakan sesuai dan terpulang kepada gabungan (parti politik) untuk mencalonkan nama.

"Perdana Menteri akan lihat kesesuaian, kepakaran dan pengalaman masing-masing sebelum dibawa untuk perkenan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kick-Off Conference Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan Kerjasama World Bank Malaysia di sini pada Selasa.

Astro AWANI pada 3 Disember lepas melaporkan dua Timbalan Perdana Menteri dan 25 menteri Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hanya menteri yang mengangkat sumpah pada hari berkenaan kerana menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, lantikan Timbalan Menteri akan dibuat sedikit lewat.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas pemotongan gaji menteri berjumlah 20 peratus yang dianggap sedikit, Rafizi menegaskan ia bukan berkaitan jumlah tetapi komitmen menteri yang diyakini akan memberi kesan kepada kerajaan.

"Saya pasti akan ada lagi potongan selepas inj tapi ada yang dipotong dari beberapa perkara, seperti tiada renovasi, guna apa yang ada sahaja.

"Berhenti cakap berkaitan keistimewaan (diperoleh menteri). Usaha itu mewujudkan satu ketetapan baharu dari kerajaan.

"Ketetapan itu seharusnya bermula dari atas (pemimpin negara)," ujarnya.

Perdana Menteri sebelum ini berkata Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus setiap bulan.

Menurutnya, langkah tersebut diambil sebagai semangat keprihatinan terhadap masalah rakyat.