LUMUT: Lembaga Air Perak (LAP) dalam proses menaik taraf rumah pam serta pembinaan tangki simpanan air, bagi memastikan penyaluran bekalan air di Pulau Pangkor di sini berjalan lancar.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kerja-kerja menaik taraf itu dijangka dilaksanakan pada April depan, manakala projek pembinaan tangki simpanan air tersebut dalam proses pengambilan tanah.

"Untuk makluman, LAP sedang dalam proses untuk memasang saluran tambahan, menaik taraf rumah pam, serta membina tangki simpanan air baharu di Pulau Pangkor bagi mengatasi masalah (gangguan air) ini bagi jangka panjang.

"Bagi keperluan dalam minggu percutian ini, kami akan usahakan untuk menyalurkan bekalan tambahan ke Pulau Pangkor. Lori tangki juga akan digerakkan sebagai tambahan bagi membantu pengagihan (air)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bahawa gangguan bekalan air berlaku di pulau bebas cukai itu, akibat daripada kerja-kerja di lapangan yang dilakukan pihak LAP.

Mohammad Nizar berkata bagaimanapun dijangkakan akan berlaku tekanan air rendah terutama di kawasan Teluk Nipah, kerana terdapat banyak pengusaha chalet tidak menyediakan tangki simpanan air yang mencukupi untuk menampung bekalan di waktu puncak.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor Fauzan Azhar ketika ditemui di Pantai Teluk Nipah di sini berkata masalah gangguan air yang berlaku di Pulau Pangkor telah berlaku sejak 8 Feb lalu.

Beliau berkata punca utama gangguan itu, berlaku disebabkan pertambahan bilangan pelancong yang datang berkunjung ke Pulau Pangkor khususnya menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

"LAP ada maklumkan kepada pihaknya untuk menyediakan tangki simpanan air, namun dengan jumlah kehadiran pelancong yang berkali ganda, menyebabkan bekalan terganggu.

"Jadi, saya harap pembinaan tangki simpanan air sebelum ini yang telah dimaklumkan kepada kami dipercepatkan pembinaannya bagi memastikan masalah gangguan bekalan air ini dapat diselesaikan," katanya.

Selain itu, seorang pengusaha resort di Pulau Pangkor, Ainul Fazrina Khairuddin, 31, berkata ramai dalam kalangan pelancong yang membatalkan tempahan di saat-saat akhir, apabila mengetahui tentang gangguan bekalan air yang berlaku di resort miliknya.

Beliau berkata jika keadaan tersebut berterusan, dia bimbang hasil pendapatan melalui perniagaan yang dijalankan akan terjejas.

"Kami minta jasa baik pihak berkenaan untuk selesaikan hal ini sebaiknya, lebih-lebih lagi Pulau Pangkor merupakan antara produk pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Perak 2024," katanya.

-- BERNAMA