Skip to main content

Dunia

Sistem gua rumit sukarkan usaha selamatkan pelombong Laos, kata penyelam Malaysia

FB Mikko Paasi
Lee berkata para pakar kini sedang mempertimbangkan langkah seterusnya untuk mencari mangsa yang masih hilang. - Gambar Facebook Mikko Paasi

PHNOM PENH: Pasukan penyelamat sedang berdepan kesukaran berikutan laluan yang sempit, jarak penglihatan sifar dan keadaan cuaca yang semakin buruk dalam usaha mengesan dua pelombong yang masih hilang di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di tengah Laos.

Seorang penyelam Malaysia yang terlibat dalam operasi multinasional berisiko tinggi itu berkata keadaan gua yang sempit dan berbahaya menjadikan usaha mengesan baki pelombong tersebut amat mencabar.

"Bukan mudah untuk mengemudi di dalam gua kerana sekatan dan laluan sempit dengan jarak penglihatan sifar.

"Laluannya sangat sempit dan hanya seorang sahaja yang boleh memasuki gua pada satu masa," kata Lee Kian Lie, seorang penyelam gua teknikal yang berpangkalan di Sabah kepada Bernama dari lokasi kejadian.

Ekspedisi melombong emas yang dianggotai tujuh individu bertukar menjadi tragedi apabila kumpulan pelombong itu terperangkap di dalam gua sejak 20 Mei, selepas hujan lebat menenggelamkan kawasan berkenaan dan menyekat laluan keluar mereka.

Pasukan penyelamat tempatan dan antarabangsa melancarkan operasi mencari secara besar-besaran dengan mengepam keluar air dari gua batu kapur semula jadi itu di kawasan terpencil Kampung Phonxay di Wilayah Xaysomboun, tengah Laos, dalam usaha untuk mendekati pelombong yang terperangkap.

Terletak kira-kira 125 kilometer dari Vientiane, Xaysomboun terkenal dengan gua-gua batu kapurnya.

Pasukan penyelamat mengesan lima daripada tujuh pelombong yang terperangkap pada Rabu. Seorang daripada mereka berjaya dibawa keluar dengan selamat pada Jumaat, manakala empat lagi keluar dari gua berkenaan pada Sabtu. Dua lagi mangsa masih hilang.

Kesemua pelombong terperangkap pada kedalaman kira-kira 300 meter di bawah tanah, sekali gus memberikan cabaran yang sangat getir kepada pasukan penyelamat.

"Setakat ini, saya menganggap ini sebagai operasi menyelamat yang berjaya. Tiada seorang pun mangsa yang cedera dan tiada penyelamat yang mendapat kecederaan walaupun berada di laluan yang berbahaya.

"Malah, kesemua empat (pelombong) berjaya keluar dari gua dengan sendiri hari ini. Kami telah bekerja sepanjang malam untuk menyelamatkan mereka.

"Sejak beberapa hari lepas, kami membekalkan mereka dengan bar tenaga dan air nasi mengikut nasihat doktor," kata Lee, anak watan Tawau yang telah berkecimpung dalam bidang penerokaan gua selama hampir 13 tahun.

Lee berkata para pakar kini sedang mempertimbangkan langkah seterusnya untuk mencari mangsa yang masih hilang.

Laos yang merupakan sebuah negara tanpa laut, sering terdedah kepada bahaya semula jadi seperti gempa bumi, banjir, ribut tropika, tanah runtuh dan kemarau.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement