Skip to main content

Malaysia

Tidak dibenarkan main mercun, terbang dron di sambutan Hari Wesak di Pulau Pinang - Polis

BUKIT MERTAJAM, 18 Mac -- Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail ketika ditemu bual pada Majlis Advokasi sempena Op Selamat 26 Aidilfitri peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azizee berkata individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. - Gambar fail/Bernama

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang melarang orang ramai yang hadir sambutan dan perarakan Hari Wesak esok bermain mercun dan bunga api, kata Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail.

Azizee berkata individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Beliau berkata penggunaan dron semasa sambutan Hari Wesak juga tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Orang ramai dinasihatkan tidak memakai barang kemas yang boleh menarik perhatian penjenayah dan menjaga tata kelakuan bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azizee berkata orang ramai juga dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sempena sambutan itu.

“Orang ramai disarankan menggunakan pengangkutan awam bagi membantu melancarkan aliran trafik dan pengguna jalan raya diingatkan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sehingga menyebabkan halangan lalu lintas serta mematuhi arahan petugas bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan,” katanya.

Sambutan Hari Wesak di Pulau Pinang akan berlangsung esok dan lebih 15,000 penganut Buddha serta pengunjung dijangka hadir meraikan perayaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hari Wesak Pulau Pinang Datuk Dr Loh Hock Hun dilaporkan berkata persiapan sudah dimulakan sejak dua minggu lepas bagi memastikan kelancaran sambutan dan upacara menyalakan api berlangsung malam ini.

Beliau berkata sebanyak 23 kereta berhias akan memeriahkan perarakan sempena sambutan Hari Wesak peringkat Pulau Pinang tahun ini yang membawa tema “Merapatkan Melalui Digital, Memupuk Kebijaksanaan Bersama”.

Polis memaklumkan beberapa jalan akan ditutup secara berperingkat bermula 6 petang hingga selesai iaitu kira-kira 12 tengah malam hari sama bagi memberi laluan kepada perarakan sempena Hari Wesak.

Laluan terlibat ialah Jalan Burmah (Permulaan), Jalan Pangkor, Jalan Kelawai, Lorong Burmah, Jalan Burmah, Jalan Perak (lawan arus), Lebuhraya Peel (lawan arus), Jalan Macalister (lawan arus), Jalan Perak (lawan arus), Jalan Anson (lawan arus), Jalan Macalister, Lorong Madras dan kembali ke Jalan Burmah.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement