JOHOR BAHRU: Polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes samun seorang lelaki Pakistan membabitkan wang tunai RM500,000 di kawasan parkir berhampiran sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang, di sini pada 24 Feb.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berketurunan Pakistan berusia antara 23 hingga 53 tahun diberkas di Seri Alam dan Tampoi, kurang daripada 24 jam selepas kejadian kira-kira 12 tengah hari itu berlaku.
Advertisement
“Kejadian berlaku apabila ejen pembekal pekerja warga asing berusia 45 tahun yang ditemani isteri mengeluarkan wang di bank, dihampiri dua suspek yang mengacukan sepucuk pistol dipercayai tiruan dan melarikan dua beg berisi wang itu.
“Siasatan mendapati dua individu yang ditahan, iaitu ahli perniagaan berusia 30 tahun dan penganggur 32 tahun merupakan dalang kejadian samun itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata ahli perniagaan itu dan seorang lagi suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai mekanik juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Beliau berkata tangkapan suspek membawa kepada rampasan wang tunai serta peralatan dipercayai digunakan untuk menyamun termasuk sebuah Toyota Hilux dan Perodua Myvi.
“Turut dirampas ialah dua beg kelabu, sepucuk pistol tiruan, wang tunai RM20 (800 keping), RM10 (700 keping) dan lapan bungkusan mengandungi RM50,” katanya.
Ab Rahaman berkata tindakan pantas polis berjaya menemukan sebahagian besar wang tunai itu, iaitu RM487,350 manakala selebihnya dipercayai telah digunakan.
Operasi itu membabitkan pasukan Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.
Ab Rahaman berkata semua suspek telah direman 10 hari dengan enam daripada mereka termasuk dalang kes akan dituduh di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok manakala dua lagi dijadikan saksi pendakwaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 399, Seksyen 412, Seksyen 395 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.
-- BERNAMA