KUCHING :Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengisytiharkan kluster baharu dikenali sebagai Kluster Bah Arnab.

Menurut pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kluster ini dikesan hasil daripada indeks kepada kes ke-719 yang telah disahkan positif pada 6 Oktober 2020.

“Individu berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ulang alik dari negeri Sabah.

“Seramai 16 orang kontak rapat kepada kes ini telah disaring pada 6 September 2020 dan 3 orang daripada kontak-kontak tersebut telah didapati positif COVID-19 pada 8 Oktober 2020 iaitu kes Ke-729, 730 dan 731,” katanya.

Menjelaskan secara terperinci daripada laporan berkenaan, Uggah turut memaklumkan pertambahan lapan kes baharu COVID-19 di negeri itu.

Jumlah tersebut sekali gus menyebabkan angka keseluruhan bagi kes virus berkenaan meningkat kepada 732 kes setakat ini.

“Empat kes yang dilaporkan hari ini dikategorikan sebagai jangkitan tempatan. Manakala, dua kes adalah kes Import (A) dan dua kes Import (B),” ujarnya.

Memperincikan perkara itu, jelas Uggah, kes pertama melibatkan kes kontak rapat kepada pesakit COVID-19 yang lalu iaitu pada 7 Oktober 2020.

“Keputusan ujian rT-PCR telah disahkan positif pada hari yang sama. Kes dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan iaitu telah mendapat jangkitan daripada kes 724,” katanya.

Kes jangkitan tempatan seterusnya pula melibatkan tiga individu yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan pesakit COVID-19 sebelum ini iaitu kes 719.

“Mereka ini tinggal serumah dengan kes positif sebelum ini yang didapati positif pada 6 Oktober lalu dan mereka tidak menunjukkan sebarang gejala. 13 kontak rapat lain yang telah menjalani saringan, adalah negatif,” lapor Uggah.

Kes seterusnya melibatkan dua kes Import (A) yang bermakna individu-individu berkenaan telah tiba dari luar negara.

“Mereka yang terlibat ini adalah merupakan warga India yang memasuki Sarawak untuk bekerja di sebuah syarikat swasta di Miri. Kedua-dua kes telah tiba di Malaysia pada 17 September 2020,” jelas Uggah.

Tambah beliau, kedua-dua individu berkenaan telah meneruskan perjalanan ke Miri pada 4 Oktober setelah selesai menjalani kuarantin di Ibu negara.

Bagaimanapun katanya, ujian rT-PCR yang dijalankan di sebuah klinik swasta di Miri mendapati mereka positif COVID-19.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)



Manakala bagi kes Import (B) melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang telah melakukan perjalanan ke Kelana Jaya, Selangor pada 22 sehingga 27 September untuk melawat ahli keluarga.

“Kes ini telah menjalani saringan COVID-19 kendiri di sebuah klinik kesihatan kerajaan pada 6 Oktober.

Keputusan ujian yang dimaklumkan pada Khamis (8 Oktober) didapati positif,” jelas Uggah.

Beliau menambah kes yang ke 732 iaitu kes Import (B) seterusnya adalah berasal dari Sabah di mana lelaki berkenaan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu dari 19 hingga 27 September atas urusan peniagaan.

“Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), kes telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah. Sampel ujian rT-PCR diambil pada hari ke-10 dan telah didapati positif virus berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media COVID-19 Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di Kuching pada Khamis.