KUALA LUMPUR: Polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes samun di Cheras, Ampang dan Kajang susulan penahanan tiga lelaki di kawasan perumahan di Bandar Sri Permaisuri, di sini, dalam dua operasi berasingan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata berdasarkan risikan, polis menahan suspek pertama yang disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka di Cheras dengan anggaran kerugian RM149.90 pada 8.30 malam.

Beliau berkata hasil penahanan lelaki itu, pihaknya menahan dua lagi suspek pada 10.30 malam dan merampas dua parang yang dipercayai digunakan dalam kes samun kedai serbaneka terbabit.

"Ketiga-tiganya yang berusia 21 hingga 25 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

"Kesemuanya yang memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman hingga 13 April ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.

Muhammad Idzam menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ke hotline polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA