KUALA LUMPUR: Seorang suspek utama kes bunuh antara lapan lelaki warga asing ditahan kerana disyaki membunuh seorang lelaki warga India di sebuah asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi, Cheras, di sini, Selasa lepas.

Kesemua mereka yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan berumur lingkungan 22 hingga 57 tahun merupakan rakan sekerja mangsa di sebuah premis besi buruk di kawasan perindustrian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata polis menerima maklumat pada 6 pagi daripada pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang menerima mangsa berusia 43 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan cedera di muka dan kepala.

Beliau berkata seorang saksi memberitahu bahawa seorang suspek lelaki warga asing berumur 37 tahun yang bekerja di premis sama ditemukan berlumuran darah di depan bilik mangsa.

"Saksi yang memasuki bilik itu mendapati mangsa yang dibunuh suspek ditemukan terbaring dengan kesan kecederaan di muka dan memaklumkan perkara itu kepada majikannya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini hari ini.

Berikutan itu, majikannya membawa mangsa ke HCTM untuk menerima rawatan, namun dia disahkan meningga dunia oleh pihak hospital.

Zam Halim berkata semasa rakan sekerja mangsa cuba mengikat suspek atas arahan majikan mereka, lelaki berkenaan cuba membunuh diri dengan menoreh lehernya menggunakan pisau.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke HCTM untuk menerima rawatan oleh majikannya.

Susulan itu, polis menahan suspek utama di wad pemantauan Unit Kecemasan HCTM untuk tindakan lanjut dan turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu.

Beliau berkata ketika kejadian berkenaan, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Zam Halim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Hotline Polis Cheras menerusi talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA