KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan peminjam dengan baki pinjaman berjumlah RM522.37 juta telah diluluskan untuk hapus kira pada 2020, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

LKAN menjelaskan antara peminjam yang mendapat kelulusan hapus kira pinjaman itu ialah negeri Melaka dengan jumlah hapus kira RM216.75 juta, Pahang bagi RM205.72 juta, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan jumlah RM42.02 juta dan Syarikat Lebuhraya Shapadu Sdn Bhd dengan jumlah RM32.13 juta.

Selaras dengan kelulusan hapus kira, sejumlah RM171.06 juta pinjaman telah dilaraskan daripada Daftar Pinjaman, menurut LKAN bagi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan 2020 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Berdasarkan laporan itu, pelarasan hapus kira ini meliputi amaun pokok pinjaman yang dibiayai daripada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM70.15 juta, faedah pinjaman berjumlah RM88.36 juta, faedah lewat berjumlah RM6.41 juta dan amaun pokok pinjaman yang dibiayai oleh Kumpulan Wang Pinjaman Badan Berkanun berjumlah RM6.16 juta.

"Baki pokok pinjaman yang dibiayai oleh Kumpulan Wang Pinjaman Badan Berkanun berjumlah RM351.31 juta masih belum boleh dilaraskan kerana peruntukan hapus kira yang disediakan adalah tidak mencukupi," jelasnya.

Selain itu, pinjaman syarikat Perwaja Terengganu Sdn Bhd berjumlah RM3.44 bilion dan Bank Pertanian Malaysia Bhd berjumlah RM200 juta telah diluluskan hapus kira masing-masing pada 2011 dan 2012.

Bagaimanapun, sehingga akhir 2020 pinjaman berkenaan masih belum dilaraskan sepenuhnya dan masih berbaki RM2.71 bilion, tambah laporan itu.

Menurutnya, hapus kira pinjaman hanya wajar diluluskan setelah peruntukan yang mencukupi disediakan.

"Hapus kira yang tidak dilaraskan dalam tempoh perakaunan yang sama dengan tahun kelulusan akan memberi kesan terhadap kesaksamaan pelaporan amaun pinjaman boleh dituntut.

"Dalam persekitaran perakaunan akruan kelak, amalan ini akan menyebabkan perbezaan rekod pinjaman yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan dan Penyata Kewangan peminjam," jelasnya.

-- BERNAMA