LIMBANG: Lapan unit premis Pasukan Gerakan Am (PGA) Limbang musnah hampir seratus peratus dalam kebakaran awal pagi Selasa.

Bangunan premis yang dipercayai menempatkan bilik bujang anggota PGA Limbang jenis tidak kekal itu dipercayai terbakar kira-kira pukul 5 pagi ini.

Ketua Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Clarence D. Primus Tiandun memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada pukul 5.25 pagi.

"Bertindak atas maklumat, enam pegawai dan anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Gambar ihsan JBPM Sarawak.

Clarence berkata, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Katanya, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.