KXP Airport City Holding Sdn Bhd merupakan syarikat yang bertanggungjawab dalam pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.

Penubuhan syarikat berkenaan merupakan satu entiti khas bagi merancang, menyelaras dan mengurus pembangunan lapangan terbang tersebut, dengan memberikan tumpuan awal pada bahagian logistik dan juga kargo.

Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kerajaan negeri telah mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat bagi membangunkan sebuah lapangan terbang antarabangsa bagi wilayah utara.

“Kerajaan negeri telah menerima kelulusan daripada kerajaan pusat bagi pembangunan sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk wilayah utara baru-baru ini,” katanya selepas mesyuarat Exco pada Rabu.

Tambah beliau, KXP Airport City Holding Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh 100 peratus Perbadanan Negeri Kedah (PKNK) dan akan beroperasi secara rasmi pada 4 Mac 2019.

Lapangan terbang ini akan bertapak di daerah Kuala Muda, Kedah.

Melalui pengumuman tersebut juga, beliau meminta supaya semua pihak menyokong KXP Airport City Holding Sdn Bhd dalam pembinaan lapangan terbang tersebut.