Skip to main content

Malaysia

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra siap dinaik taraf, beroperasi sepenuhnya esok

KOTA BHARU, 21 Feb -- Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, yang dijangka beroperasi sepenuhnya mulai 5 Mac ini, mampu menampung sehingga 4 juta penumpang setahun berbanding 1.5 juta sebelum ini, menurut tinjauan baru-baru ini.  Pengurus LTSIP, Suhaimi Abdul Sani, berkata selepas melalui fasa naik taraf, lapangan terbang kini berwajah baharu serta dilengkapi kemudahan lebih komprehensif bagi keselesaan penumpang dan kelancaran operasi penerbangan.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA
Pembesaran terminal baharu ini telah meningkatkan kapasiti lapangan terbang KBR daripada 1.5 juta kepada 4 juta penumpang setahun. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Kerja-kerja pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) di Kelantan kini telah siap dan ia akan beroperasi sepenuhnya mulai esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke dalam kenyataan berkata pembesaran terminal baharu ini telah meningkatkan kapasiti lapangan terbang KBR daripada 1.5 juta kepada 4 juta penumpang setahun. 

Advertisement

“Dengan jumlah pergerakan penumpang mencecah 1.7 juta pada 2025, meningkat 16.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, peningkatan kapasiti ini berupaya menampung pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata kemudahan yang ditambah baik di KBR merangkumi bangunan terminal yang lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang serta susun atur baharu kawasan tepi jalan dengan lorong khusus untuk bas teksi dan perkhidmatan e-hailing. 

“Penambahbaikan ini dijangka meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang dan menyokong kelancaran operasi lapangan terbang, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

“Pada masa sama, peningkatan ini turut memperkukuh hubungan udara ke Kelantan, di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Loke berkata terdapat lima syarikat penerbangan yang kini beroperasi di KBR, merangkumi enam laluan domestik dan satu laluan antarabangsa ke Singapura. 

Beliau berkata majlis pelancaran rasmi bagi terminal yang diperluaskan itu akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video