MALAYSIA
Lapisan ozon mula pulih, usaha global terus beri hasil

Sempena sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 yang bertemakan 'From Science to Global Action', JAS akan menganjurkan program di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya pada 4 dan 5 Oktober. - Foto Jabatan Alam Sekitar
PUTRAJAYA: Lapisan ozon yang berfungsi melindungi bumi daripada sinaran ultraungu (UV) berbahaya kini menunjukkan tanda pemulihan, hasil daripada pelaksanaan Protokol Montreal yang disokong seluruh dunia sejak lebih tiga dekad lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dr Norhazni Mat Sari, berkata ozon di stratosfera amat penting kerana berperanan menyerap sinaran UV yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia serta ekosistem.
“Kesan buruk daripada penerobosan sinar UV ini memberikan kesan negatif kepada kesihatan masyarakat dan global, termasuk ekosistem dunia dan kehidupan manusia. Jika sinaran UV berlebihan sampai ke muka bumi, ia boleh menyebabkan kanser kulit, katarak mata dan menjejaskan imunisasi manusia,” katanya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi.
Dalam masa sama, Protokol Montreal juga berjaya mengurangkan penggunaan bahan pemusnah ozon (ODS) yang sebelum ini digunakan secara meluas dalam produk harian.Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS, Ryan Ooi Chean Weai, menjelaskan antara produk yang menggunakan ODS termasuk gas penghawa dingin, peti sejuk dan sistem pemadam kebakaran.
“Pesanan untuk masyarakat ialah apabila memanggil juruteknik bagi servis penghawa dingin di rumah, pastikan mereka adalah trained technician. Ini kerana kita melatih mereka supaya dapat meminimumkan pelepasan gas refrigerant ke udara,” katanya.
Dalam pada itu Norhazni menegaskan, kejayaan Protokol Montreal membuktikan bahawa sains dan kerjasama global mampu membawa pemulihan kepada bumi. Justeru, katanya, masyarakat perlu terus memainkan peranan bagi memastikan bumi diwarisi dalam keadaan lebih baik oleh generasi akan datang.
Bersempena sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 yang bertemakan “From Science to Global Action”, JAS akan menganjurkan program di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya pada 4 dan 5 Oktober.
Program tersebut menampilkan pelbagai pameran dan aktiviti pendidikan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga ozon serta kaitannya dengan perubahan iklim
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami