PENYERANG CD Tenerife, Jesus de Miguel, 30, meninggal dunia di hospital pada Selasa selepas mengalami serangan jantung ketika perlawanan Liga Divisyen Dua Sepanyol, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik kenyataan kelab itu.
"Dengan penuh kesedihan, sebak dan masih tidak percaya bahawa perkara ini benar-benar berlaku, kami mengumumkan pemergian Jesus de Miguel Alameda pada Selasa, 3 November 2026, 8.00 pagi," menurut Tenerife dalam satu kenyataan.
"Tiada kata-kata yang mampu memberikan ketenangan; tiada apa-apa yang dapat meredakan kesedihan yang menyelubungi kami. Kami bersama keluarga beliau yang sedang berduka, serta insan tersayang yang kini menangisi pemergian beliau yang amat menyayat hati."
De Miguel mengalami serangan jantung selepas berlanggar dengan penjaga gol Futbol Club Andorra, Jesus Owono, pada masa kecederaan dalam perlawanan pada Isnin.
Beliau kemudian dikejarkan ke hospital manakala perlawanan itu dihentikan.
Terdahulu pada Selasa, Tenerife memaklumkan yang keadaan kesihatan pemain itu "merosot dari segi neurologi".
De Miguel membuat penampilan sulung profesional pada 2015 bersama Leganes B dan pernah beraksi untuk lapan kelab lain di Sepanyol, termasuk Tenerife yang disertainya pada tahun lepas.
Kelab gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid, antara pasukan yang menyampaikan ucapan takziah.
"Seluruh warga FC Barcelona amat berdukacita menerima berita tragis mengenai pemergian Jesus de Miguel, pemain CD Tenerife. Ingatan dan doa kami bersama keluarga, rakan-rakan serta insan tersayang beliau dalam menghadapi saat sukar ini," tulis Barcelona menerusi platform X.
Real Madrid pula memaklumkan dalam satu kenyataan: "Real Madrid CF, Presidennya serta Lembaga Pengarah amat dukacita atas pemergian Jesus de Miguel, pemain CD Tenerife. Real Madrid ingin menyampaikan ucapan takziah serta sokongan kepada keluarga, rakan sepasukan, kelab dan semua insan tersayang beliau."
-- BERNAMA-dpa