KUALA LUMPUR: Pengurusan projek pembinaan sekolah antara tempoh 2016 hingga 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), termasuk projek sambungan, adalah kurang cekap dan kurang berkesan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 yang diterbitkan hari ini, terdapat kelemahan di peringkat perancangan, prapelaksanaan dan pelaksanaan projek oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), perunding dan kontraktor.

Selain itu, laporan tersebut menyebut, masalah koordinasi antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat utiliti, serta isu ketersediaan tapak projek turut menyumbang kepada kemajuan projek.

Situasi tersebut mengakibatkan objektif 87 projek dengan kos RM2.889 bilion untuk menampung lebihan murid melalui pembinaan sekolah baharu, dan ke arah sekolah satu sesi sukar dicapai.

Laporan itu menyebut, antara kelemahan yang perlu diberi perhatian ialah enam projek mengambil masa antara empat tahun dua bulan ke enam tahun dua bulan daripada kelulusan Unit Perancang Ekonomi (UPE) untuk disiapkan.

Katanya lagi, sembilan projek masih dalam tempoh pelaksanaan dan tiga projek belum dilantik kontraktor, walaupun selepas empat hingga 11 tahun diluluskan UPE, selain dua sekolah baharu hanya dibuat setelah bilangan murid melebih 35 orang dalam bilik darjah.

Selain itu, laporan tersebut turut menyentuh mengenai kelemahan perunding dalam reka bentuk lima projek sekolah baharu, menyebabkan kos tambahan sebanyak RM2.16 juta, manakala kelemahan mengenal pasti keperluan di peringkat PBT dan syarikat utiliti bagi enam projek, mengakibatkan peningkatan kos sebanyak RM1.26 juta.

Ketua Audit Negara berkata, terdapat juga pembayaran kepada perunding berjumlah RM1.56 juta bagi empat projek, biarpun kontrak belum dimeterai.

Antara syor yang digariskan dalam laporan tersebut ialah, KPM disaran untuk mengadakan libat urus dengan semua pihak terlibat bagi mengurangkan risiko kelewatan pelaksanaan projek

“KPM hendaklah memastikan tanah yang diserahkan kepada rizab pendidikan oleh pemaju adalah tanah yang sesuai dengan pendidikan, dan tidak memerlukan kerja tanah yang kompleks.

“KPM hendaklah memperkemaskan prosedur dan proses pelaksanaan projek pembinaan sekolah supaya pengurusan lebih teratur, dan mematuhi semua peraturan semasa yang berkuasa,” menurut laporan itu.

Selain itu laporan itu turut menyarankan agar KPM menjalankan kajian semula untuk mengenal pasti keperluan semasa skop pembinaan sekolah bagi projek yang lewat dimulakan pelaksanaannya.