KUALA LUMPUR : Laporan yang mengatakan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini diletakkan di bawah Bidang Kuasa Majlis Raja-Raja susulan daripada ketetapan mesyuarat majlis itu pada 9 dan 10 Mac lalu adalah kurang tepat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan dengan titah perkenan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, laporan beberapa media tempatan sebelum ini boleh mengelirukan.

Dalam pencerahan itu, beliau menegaskan, mesyuarat majlis itu yang ke-258 hanya membuat ketetapan memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk tempoh dua tahun.

"Pelantikan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sejak penubuhannya oleh Majlis Raja-raja sendiri pada tahun 1968 (yang juga badan asal JAKIM), sememangnya telah dibuat oleh Majlis Raja-raja dan Perdana Menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman telah diperkenan memenuhi peranan dan tanggungjawab MKI sebagai pengerusi.

"Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258 bagaimanapun telah membuat ketetapan bahawa salah seorang dari Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab pengerusi selama tempoh dua tahun secara bergilir-gilir, sementara Perdana Menteri dilantik sebagai timbalan pengerusi," jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, ketetapan itu adalah selaras dengan perakuan yang dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-raja oleh Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Tun Ahmad Sarji.

"Beliau berpandangan, oleh kerana Islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-Raja Pemerintah, adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh Raja Pemerintah.

"Perakuan Jawatankuasa telah dirunding oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dengan pihak kerajaan dan telah mencapai persefahaman serta kata sepakat," tambahnya.

Dalam laporan pada 10 Mac lalu, beberapa akhbar melaporkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja memutuskan untuk meletakkan JAKIM di bawah majlis berkenaan, selain Sultan Selangor dan Perdana Menteri masing-masing sebagai Pengerusi MKI dan Timbalan Pengerusi.