Sekumpulan wartawan hari ini diberi peluang menyoal pegawai kanan kementerian berhubung Laporan Ketua Audit Negara dalam satu majlis dialog yang seumpamanya.

Majlis yang dihadiri oleh semula ketua pengarah daripada 24 buah kementerian itu diadakan untuk menjelaskan tindakan yang telah diambil terhadap salah laku dan ketirisan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada Isnin.

Majlis yang disiarkan secara langsung melalui RTM itu dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dan diselaraskan oleh Pemandu bersama pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Low menyifatkan majlis dialog itu sebagai "sangat signifikan" kerana ia memberi peluang kepada sektor perkhidmatan awam untuk merapatkan jurang dengan orang ramai melalui media.

"Mungkin perkhidmatan awam melihat media sebagai pihak yang agak bersikap bermusuhan dengan mereka. Selalunya kita beranggapan apa saja yang kita lakukan, media tidak nampak apa yang sudah dibuat," kata Low.

Sambil mengakui bahawa kerajaan mesti mengubah pendekatannya dan jadi lebih terbuka untuk terus relevan dengan rakyat, Low berkata: "Kita tidak boleh berselindung di sebalik undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi untuk tidak berhubung dengan masyarakat sivil."

"Hari ini orang ramai mahu tahu tentang bagaimanakah kita menguruskan sumber negara. Kerajaan dipilih oleh rakyat untuk melindungi kepentingan rakyat.

"Kita sebagai kerajaan percaya bahawa kita mesti melakukan perkara yang betul walaupun ia mungkin tidak popular. Kita mesti sedia untuk mengambil risiko dan berfikir dengan cara yang berbeza," katanya.

Menurut Low, Malaysia sudah "melampaui norma kebertanggungjawaban sektor awam". Beliau merujuk kepada laporan ketua audit di Singapura yang tebalnya hanya 70 halaman.

Dalam majlis dialog selama lebih dua jam itu, soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan termasuklah tentang pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang lemah, isu RTM tidak mempunyai kontrak yang formal dan tindakan , Fama Corporation Sdn Bhd (FamaCorp) membayar sebuah syarikat untuk membekal dan mengedar botol air mineral.

Setiap pegawai yang berkenaan atau ketua agensi berkaitan kerajaan terlibat dipanggil naik ke pentas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku moderator dialog apabila ada soalan yang dikemukakan berhubung kementerian mereka.

Bagaimanapun pihak media agak kecewa apabila soalan-soalan lain yang di luar daripada Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 tidak dibenarkan ditanya.

Soalan-soalan mengenai apa yang dianggap sebagai kesalahan yang berulang, pendirian kerajaan mengenai rundingan terus dan hasrat menyingkirkan peranan orang tengah, semuanya disifatkan sebagai soalan-soalan yang tidak sesuai untuk majlis dialog itu.

Beberapa ahli politik Pakatan Rakyat dan wakil NGO yang menganggap majlis dialog itu sebagai acara terbuka cuba hadir. Mereka bagaimanapun dengan berat hati meninggalkan majlis selepas dimaklumkan oleh Low bahawa ahli parlimen boleh mengemukakan soalan di Dewan Rakyat.

Ketua Setiausaha Negara menyifatkan majlis tersebut sebagai berjaya dan berjanji pihaknya akan lebih dekat dengan media. Janji itu dibuat selepas beliau dimaklumkan oleh wakil media bahawa kerajaan agak lambat memberi respons kepada isu-isu negatif.

"Apabila kita sudah membacanya di akhbar, kita terpaksa jadi defensif. Cerita yang baik kadangkala tidak keluar surat khabar kerana tidak ada pembaca. Kami terima tawaran anda. Kami akan bekerjasama dengan media," katanya.

Beliau menambah adakalanya kerajaan menganggap "rungutan" di media sebagai "satu hadiah" kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki keadaan dan tahu apa yang berlaku.