KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 mendapati bayaran tuntutan kos penyenggaraan Projek Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) berjumlah RM499.18 juta telah dibayar tanpa pengesahan laporan Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

GIRN ialah projek strategik kerajaan peringkat nasional yang dilaksanakan secara Kerjasama Awam Swasta dengan syarikat konsesi yang dibangunkan untuk menyediakan keupayaan rangkaian komunikasi yang lebih cekap antara anggota penguat kuasa di lokasi operasi/kejadian dengan bilik kawalan pusat.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipertanggungjawabkan memantau kemajuan projek itu dan membuat pembayaran bagi kerja dan perkhidmatan yang dilaksanakan.

Menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini, bayaran penuh sebanyak RM499.18 juta itu dibuat kepada syarikat konsesi walaupun dua daripada lima parameter pengukuran yang ditetapkan iaitu Handover Between Cells (data) bagi KPI Retainability dan Data Throughput dilaporkan sebagai not available atau tidak dicapai oleh syarikat konsesi.

"Pembayaran penuh yang dibuat ini menyebabkan potongan rebat berjumlah RM2.5 juta tidak dibuat, tuntutan insurans oleh syarikat konsesi berjumlah RM23.51 juta tidak wajar dituntut telah dibayar kepada syarikat konsesi.

"Selain itu, pembayaran sebanyak RM150.19 juta terhadap perbelanjaan lain antaranya bayaran kos diesel generator dan bayaran sewa helikopter bagi perkhidmatan penyenggaraan pula tidak dapat disahkan," menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan secara keseluruhan, berdasarkan skop dan sampel audit, terdapat kelemahan dalam pengurusan kontrak berkaitan Bayaran Tuntutan Kos Penyenggaraan GIRN disebabkan tiada semakan teliti terhadap klausa perjanjian dan dokumen sokongan yang dikemukakan sebelum pembayaran dibuat menyebabkan pembayaran yang tidak teratur berjumlah RM499.18 juta.

Sehubungan itu, beberapa syor dikemukakan audit kepada MKN antara lain memastikan pengesahan tuntutan konsesi dibuat berdasarkan klausa perjanjian sebelum diperakukan untuk bayaran.

MKN katanya juga perlu mengambil tindakan dengan menguatkuasakan klausa perjanjian sedia ada dan menambah baik terma perjanjian untuk menjamin nilai terbaik kerja dan perkhidmatan yang diperoleh bagi mengelakkan ketirisan.

"Di samping itu, MKN perlu memastikan pentadbiran dan pemantauan kontrak dilaksanakan dengan cekap dan teliti agar kepentingan kerajaan terjamin dan perlu menyemak semula bayaran kepada syarikat konsesi yang tidak mematuhi klausa perjanjian untuk tujuan pemotongan bayaran tuntutan," menurut LKAN.

-- BERNAMA