KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menjelaskan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 pada 22 Nov mengenai wang sebanyak RM1.47 juta yang diperuntukkan kepada MSN 'lesap', adalah tidak benar.

MSN menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya dan Institut Sukan Negara (ISN) telah menggunakan wang itu untuk membuat pembayaran kepada pihak berkaitan seperti atlet, jurulatih, penyedia perkhidmatan sains sukan, perolehan alatan dan alat ganti, selain penyaluran geran kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

"Kenyataan tersebut adalah tidak benar kerana tiada peruntukan yang 'lesap'," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MSN turut menjelaskan mengenai LKAN 2022 dalam Perenggan 5.2.1.d. Maklumat Penemuan yang melaporkan bahawa terdapat Perbelanjaan Tiada Dalam Skop yang Diluluskan oleh MSN yang berjumlah RM1.26 juta.

Menurut kenyataan MSN, pihaknya dan ISN telah memberi justifikasi perbelanjaan berkenaan menerusi beberapa sesi libat urus dengan Jabatan Audit Negara.

"...Peruntukan Program Podium telah digunakan bagi membiayai aktiviti Program Pelapis Kebangsaan (PK), kerana kumpulan atlet ini sering kali terlibat dalam membantu persediaan Atlet Podium semasa sesi latihan/pertandingan dan kejohanan, serta pembelian peralatan dan alat-alat ganti.

"Pembayaran perkhidmatan sains sukan dan perubatan, permohonan pembayaran dikemukakan oleh ISN bersekali bagi semua atlet di bawah program MSN. Oleh yang demikian, MSN berdepan kesukaran untuk mengasingkannya berdasarkan peruntukan masing-masing," menurut kenyataan MSN.

MSN turut memaklumkan skop Program Podium memberikan tumpuan khusus diberikan kepada program penyediaan atlet dalam menghadapi temasya sukan utama (Sukan SEA/PARA ASEAN, Sukan Komanwel, Sukan Asia/Para Asia, Sukan Olimpik/Paralimpik).

Menurut kenyataan MSN, pihaknya menyalurkan geran kepada PSK untuk tujuan 'pengurusan ke arah temasya sukan utama', bagi sukan-sukan yang tidak dilaksanakan oleh MSN.

"Antara PSK yang telah menerima penyaluran geran ini ialah Muay Thai, lawan pedang, kickboxing, snuker dan billiard. Beberapa sukan tersebut telah berjaya meraih pingat di temasya sukan utama seperti di Sukan SEA dan Sukan Asia," menurut kenyataan itu.

MSN berharap huraian dan penjelasan yang dibuatnya ini mampu memperbetulkan persepsi negatif yang timbul ekoran daripada laporan berita dan naratif ulasan yang tidak tepat di pelbagai platform media.

-- BERNAMA