SUDAH lebih setengah abad Malaysia merdeka, namun masih ada rakyat di sesetengah kawasan tersepit dengan masalah bekalan air bersih apabila terpaksa bergantung harap kepada telaga untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Antaranya penduduk di Kampung Pengkalan Gaduh, Besut, Terengganu, yang belum menerima bekalan air terawat sungguhpun rayuan sudah dibuat kepada pihak berkuasa sejak sekian lama.

Sehingga kini masih tiada perkhabaran untuk memasang sistem perpaipan untuk membolehkan bekalan air terawat disalurkan masuk ke kawasan kampung berkenan, menyebabkan masalah itu terus menghimpit mereka.

Menurut penduduk, setiap rumah sebaliknya perlu mengeluarkan kos mencecah ribuan ringgit jika mahu membuat penyambungan paip sendiri daripada paip utama sistem bekalan air terawat.

Lokasi kampung berkenaan tidaklah jauh dari arus pembangunan di Besut dan hanya terletak satu kilometer sahaja dari sebuah institusi awam yang baru siap dibina, namun isu kemudahan asas sebegini masih belum diselesaikan.

Difahamkan sekitar 15 rumah di kampung itu masih belum mendapat bekalan air bersih dan setiap rumah sehingga kini bergantung kepada air telaga.

Bagi Cik Ejah Yusof, 70, mereka sudah letih memohon dan merayu bagi pemasangan paip bekalan air terawat, namun tiada tindakan segera daripada pihak yang bertanggungjawab.

"Buat rayuan sekali dengan mesyuarat maklumkan nak air, tapi masih tiada jawapan lagi.

"Dari zaman Pas... dahulu Barisan Nasional pun serupa juga, harap kali ini bolehlah dapat bekalan air," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI, baru-baru ini. 

Penduduk Kampung Pengkalan Gaduh, Cik Ejah menunjukkan telaga yang menjadi sumber air bagi kegunaan hariannya - Foto/AstroAWANI

Setiap rumah kini menggunakan motor pengepam untuk menaikkan air telaga ke sistem paip untuk kegunaan harian.

Namun lain pula masalah yang timbul apabila menggunakan sumber air telaga ini iaitu ia tidak dapat diminum dan hanya untuk kegunaan membasuh.

Dakwa Cik Ejah lagi, kualiti air itu tidak baik dan dikhuatiri tidak selamat untuk diminum.

"Air ini tidak boleh diminum dan kalau musim kemarau lagilah teruk sebabnya air tidak berapa ada.

"Kalau ada pun air yang naik itu akan bercampur dengan pasir dan ia susahkan kami nak tapis dahulu," katanya.

Dakwa mereka, kualiti air yang kurang memuaskan ini menyebabkan mereka sukar untuk meneruskan kehidupan seharian.

Ia memaksa mereka mengeluarkan duit lebih bagi membeli air minuman di kedai berdekatan untuk tujuan makan dan minum.

Mereka juga berdepan dengan situasi getir apabila adakalanya telaga dimasuki haiwan yang menyebabkan ia mati dan bangkainya menyebabkan air tercemar.

"Susah jugalah, kadang-kadang ayam masuk mati, adakala ular masuk. Lepas seminggu baru cium bau busuk, baru tahu ada bangkai.

"Jadi kami kena sedut air sampai kering dan bersihkan, seterusnya kena tunggu ada air barulah kami dapat gunakan air telaga itu," jelas seorang lagi penduduk, Suhaimi Mohamad.

Bagi Muhammad Zulkiffly pula, dengan keadaan isteri yang sarat mengandung, ia menyukarkan kehidupan seharian mereka. 

"Isteri saya mengandung, untuk jalankan kerja-kerja rumah agak sukar kerana bekalan air tidak menentu ini. 

"Kami gunakan hanya untuk basuhan sahaja, adakalanya baju putih jadi kotor kekuningan," kata Zulkiffly. 

Muhammad Zulkiffly mendakwa air yang diperoleh daripada telaga adakalanya tidak jernih dan kotor yang boleh sebabkan kerja seharian terganggu - Foto/AstroAWANI

Bagi penduduk, pilihan untuk membuat penyambungan paip sendiri daripada sistem bekalan air terawat menggunakan khidmat kontraktor swasta membabitkan kos amat tinggi dan disifatkan tidak masuk akal kerana luar kemampuan mereka.

"Kalau nak pasang paip itu, kosnya agak tinggi, dalam RM5,000 satu rumah.

"Dengan gaji sekitar RM1,200 sekarang ini, semestinya kami tidak mampu untuk membayarnya," jelas seorang lagi penduduk Rosdi Fakri Rosli.

Besar harapan mereka untuk pihak yang bertanggungjawab menyelesaikan isu ini dan bukan hanya memberi janji ketika musim pilihan raya sahaja.

Laporan Khas | Menagih simpati untuk minum air dari pili

Sementara itu, Astro AWANI mendapatkan penjelasan daripada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Terengganu yang bertanggungjawab dalam menguruskan isu bekalan air di kawasan ini.

Pengarahnya, Mohamad Faizal Shamsudin memaklumkan proses pengiklanan tender bagi pelaksanaan  pemasangan paip untuk bekalan air di kampung itu termasuk dalam pakej yang dijangka akan dilakukan seawal Mac tahun hadapan.

Jelasnya lagi, bagi tahun 2022, KPLB melalui pejabat negeri telah selesai melaksanakan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) menggunakan kaedah sebut harga melibatkan 82 kampung.

Kesemua projek ini dilaksanakan selepas dipohon oleh Syarikat Air Terengganu Utama (SATU) selaku operator air di Terengganu.