Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum jadi mangsa gangguan seksual

Sheinbaum yang merupakan wanita pertama memegang jawatan Presiden Mexico berkata, beliau membuat laporan polis selepas mengetahui lelaki itu turut mengganggu wanita lain. - Gambar Reuters
MEXICO CITY: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menggesa agar gangguan seksual dijadikan kesalahan jenayah di seluruh negara susulan insiden memalukan yang berlaku ketika beliau berjalan kaki ke satu acara berhampiran Istana Presiden pada Selasa.
Dalam kejadian yang dirakam dan tular di media sosial,seorang lelaki yang dipercayai mabuk menghampiri Sheinbaum dari belakang, memeluk bahunya, menyentuh pinggul dan dada serta cuba mencium lehernya.
Anggota keselamatan segera bertindak menarik lelaki tersebut yang kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa.
Sheinbaum yang merupakan wanita pertama memegang jawatan Presiden Mexico berkata, beliau membuat laporan polis selepas mengetahui lelaki itu turut mengganggu wanita lain.
“Jika ini boleh berlaku kepada seorang Presiden, bagaimana pula nasib wanita lain di negara ini?” katanya dalam sidang media pagi Rabu.
Beliau turut berkongsi bahawa insiden gangguan seksual bukanlah perkara baharu dalam hidupnya, malah pernah mengalaminya sejak zaman pelajar. “Tiada lelaki berhak melanggar ruang peribadi wanita,” tegasnya.
Sheinbaum menyatakan hasrat untuk melancarkan kempen nasional bagi memastikan gangguan seksual diklasifikasikan sebagai jenayah di semua 32 wilayah persekutuan Mexico.
Ketika ini, tidak semua negeri mempunyai peruntukan undang-undang yang menghukum perbuatan tersebut, walaupun ia sudah menjadi kesalahan di Mexico City.
Walaupun insiden itu mencetuskan kritikan terhadap tahap keselamatan presiden, Sheinbaum menegaskan beliau tidak akan mengubah pendekatan mesra rakyat yang diamalkan sejak awal pentadbiran. “Saya mahu kekal dekat dengan rakyat,” katanya.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan masyarakat dan aktivis hak wanita, yang menyifatkannya sebagai gambaran nyata terhadap budaya ‘macho’ yang masih berakar dalam masyarakat Mexico.
Menurut data UN Women, kira-kira 70 peratus wanita Mexico berusia 15 tahun ke atas pernah mengalami sekurang-kurangnya satu insiden gangguan seksual dalam hidup mereka.
Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada, menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Sheinbaum dan menyifatkan gangguan terhadap presiden sebagai “serangan terhadap semua wanita.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


