KUALA LUMPUR: Dijadikan kambing hitam selepas ditipu membabitkan pinjaman bank bernilai ratusan ribu ringgit, itu kisah sepasang suami isteri yang kini berdepan tindakan undang-undang apabila akaun bank mereka didakwa digunakan sindiket penipuan.

Ketika mereka terperangkap dan menderita, sindiket itu bagaimanapun masih bebas dan terus mencari tunggangan 'keldai' yang baharu demi mengaut keuntungan dengan melakukan penipuan secara dalam talian.

Astro AWANI mendekati pasangan itu di ibu negara baru-baru ini. Dikenali sebagai Shamsudin (bukan nama sebenar) dan Zakiah (bukan nama sebenar) mereka masing-masing berusia 40 dan 25 tahun.


Laporan Khas | Sindiket keldai akaun: Rela atau paksa?

TAKTIK SINDIKET KELDAI AKAUN

Menceritakan lanjut, mereka mendakwa detik hitam bermula November tahun lalu, apabila Shamsudin menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp menawarkan pinjaman wang di bank.

Dakwa Shamsudin, pada mulanya, dia tidak yakin namun atas niat ingin mengubah nasib keluarga, dia memberanikan diri berhubung dengan individu yang dikatakan mempunyai 'kenalan' dalam sebuah institusi perbankan.

"Pada mulanya saya abaikan mesej itu. Tapi kemudian saya balas mesej balik (tanya) macam mana nak buat pinjaman, dia (suspek) kata dengan syarat awak kena serahkan kad bank... tapi satu kad bank (boleh buat pinjaman) maksimum RM60,000.

"Dia tanya berapa jumlah saya nak pinjam? Saya kata RM120,000. Dia beritahu saya perlukan lebih daripada satu kad bank kalau nak pinjam wang yang banyak.

"Dia tanya (saya ada) akaun (bank) apa, saya maklumkan (nama bank)... (dia kata) lagi bagus dia kata memang (dia) ada 'orang dalam' di bank tu. Bila saya tanya kenapa kena serahkan kad bank, dia kata itu untuk adjust sebab akaun boleh lulus, kalau loan sudah lulus semua urusan dekat bank," katanya.

Shamsudin (bukan nama sebenar) dan Zakiah (bukan nama sebenar) mereka masing-masing berusia 40 dan 25 tahun.

SERAHAN KAD ATM

Tidak menyedari dirinya bakal menjadi mangsa keldai akaun, Shamsudin mendakwa dia kemudian bersetuju dan menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar kad banknya dan isteri kepada individu terbabit.

Suspek memberitahu proses untuk meluluskan pinjamannya akan mengambil masa kira-kira dua minggu dan Shamsudin akan menerima panggilan daripada pihak bank.

Meskipun resah dan risau, Shamsudin dan isterinya terus menunggu namun keadaan tidak menjadi seperti dirancang. Dia tidak dihubungi oleh bank menyebabkannya mula bertanya kepada individu terbabit.

Dakwanya, suspek berdolak-dalik apabila ditanya mengenai perkara itu dan berulang kali memberi alasan kononnya permohonan pinjamannya 'sedang diproses'.

Bagaimanapun, Shamsudin mula menyedari sesuatu berlaku di luar pengetahuannya apabila dia sendiri menghubungi bank dan dimaklumkan akaunnya telah dibekukan beberapa minggu sebelum itu.

"Pihak bank kata akaun saya dah dibekukan, dia (kakitangan bank) tanya saya ada terima maklum mengenai perkara itu. Saya memang tidak terima sebarang makluman daripada bank, dari situ saya dah sedar saya jadi mangsa keldai akaun.

"Pada mulanya saya fikir scammer dah tukar alamat dan e-mel saya, tapi bila saya periksa dengan bank, semua maklumat saya masih sama," dakwanya lagi.

DETIK HITAM MANGSA

Tambah Shamsudin lagi, sejak kejadian itu bermulalah detik hitam dalam hidupnya apabila dia dan isteri disiasat polis dan dihadapkan ke mahkamah di dua negeri membabitkan 12 pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

"Diuji macam ini, mula-mula saya fikir masih kuat lagi untuk cari rezeki dan bayar denda. Saya dah gadaikan emas dan tak tahu nak buat apa lagi, sampai kami nak bercerai sebab terlalu terkanan dengan masalah ini.

"Saya rasa dianiaya, kenapa undang-undang macam ini," dakwa Shamsudin.

Menurutnya, tiga kes telah dibicarakan, manakala sembilan lagi kes masih menunggu perbicaraan di mahkamah.

Untuk rekod, 13 laporan polis telah dibuat terhadap mereka di Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Putrajaya dan Sabah.

Dari situ, pahit untuk ditelan apabila mereka terpaksa turun naik mahkamah dan boleh dipenjarakan jika gagal membayar denda.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob bersama dua pegawai polis meneliti rancangan untuk memerangi sindiket scam. Gambar: Astro Awani

TINDAKAN JSJK

Kami panjangkan isu ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman. Menurut Pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob, taktik sindiket berubah-ubah untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Jelasnya, peminjam wang tidak berlesen dan tidak wujud kini mula mengembangkan jenayah mereka secara dalam talian terutama ketika keadaan ekonomi semasa yang buruk akibat pandemik COVID-19.

"Jalan yang mudah sekali untuk dapatkan akaun mangsa adalah kumpulan bekerjasama dengan along (peminjam wang tidak berlesen), kemungkinan along sudah ada kaitan.

"Waktu ini tidak begitu menarik untuk mereka jalankan jenayah seperti dahulu, lebih menarik buat scam jadi kita percaya dia dah mula melakukan aktiviti scam.

"Aktiviti scam ini tidak perlu latihan di universiti, hanya latihan dua tiga hari dah boleh jalankan penipuan. Ada kecenderungan kad-kad ATM mangsa digunakan along ini sudah jatuh ke tangan sindiket scam," katanya lagi.

Malah PDRM jelasnya tidak berdiam diri, sebaliknya akan terus menggempur sindiket ini sehingga tertangkapnya dalang di sebalik jenayah dalam talian ini.


Keldai Akaun: Mangsa dihukum, sindiket masih bebas?

KESEDARAN ORANG RAMAI

Dalam pada itu jelas Zainuddin, selain tindakan pihak berkuasa mengesan dan memburu sindiket, orang ramai juga perlu lebih berhati-hati dalam membuat pinjaman secara dalam talian.

"Kita akan kesan dimana 'money trail' oleh Jabatan Forensik PDRM, kita kesan pergerakan duit yang kena tipu masuk ke dalam akaun.

"Jadi kita terpaksa tangkap pemilik akaun, itu dalam proses siasatan sehinggalah dia mengatakan dia tak tahu dan terkejut akaun dia digunakan.

"Orang awam kalau terserah kad ATM disyaki digunakan keldai akaun, pergi ke bank dan tutup akaun itu," katanya.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berpendapat perlu kaedah baharu dicari oleh pihak berkuasa membanteras sindiket scam di negara ini. Gambar: Fail

PERLU KAEDAH BAHARU CEGAH SINDIKET

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika ditemui Astro AWANI pula berpendapat kaedah baharu perlu diambil oleh pihak berkuasa.

"Kalau kita harap selesai satu tempat sahaja... contoh pemilik akaun kena tangkap, betul ke itu adalah kebenaran sebenar atau sekadar tutup kes?

"Memang tiada bukti, tapi kena cari bukti yang cukup, bukan sekadar tangkap pemilik akaun sahaja. Kita kena lihat balik undang-undang kerana satu hari esok kalau ambil mudah, orang yang kena scam ini akan jadi masalah," katanya.

Malah jelasnya lagi, perlu ada satu undang-undang khusus mengenai jenayah penipuan dalam talian supaya keadilan dapat diberikan kepada semua termasuk pemilik akaun yang menjadi mangsa.

"Saya rasa undang-undang perlu ada keadilan yang jelas bukan setakat tutup kes sahaja. Kepada masyarakat apa jadi, ada anak muda hendak kerja tetapi tidak boleh sebab akaun banknya pernah digunakan keldai akaun.

"Saya rasa pihak bank juga perlu bertanggungjawab dan lebih peka tentang transaksi keluar masuk, jika ada yang tidak kena boleh lapor kepada pihak berkuasa.

"Saya tidak nampak kesungguhan yang betul-betul setakat ini, maka masyarakat kita akan bertambah bermasalah," katanya lagi.

TANGKAPAN DAN KES

Statistik kes penipuan dalam talian melibatkan e-dagang dan pinjaman tidak wujud. Gambar: Aris Ahmad / Astro Awani


Jika dilihat kepada statistik pada tahun 2019 dan 2020, pujian boleh diberikan kepada PDRM dalam memburu penjenayah dalam talian.

Mengikut statistik, sebanyak 3,511 kes e-dagang dan 5,035 kes pinjaman tidak wujud direkodkan pada tahun 2019 melibatkan kerugian berjumlah RM 76,441,566.

Seramai 1,397 individu ditahan bagi kes e-dagang dan 2,528 individu bagi kes pinjaman tidak wujud.

Bagi tahun 2020 pula, angka itu meningkat apabila 5,848 kes melibatkan e-dagang dan 5,701 kes bagi pinjaman tidak wujud dengan jumlah kerugian dicatatkan sebanyak RM103,054,653.

Seramai 2,250 individu ditahan bagi kes e-dagang dan 3,019 individu bagi kes pinjaman tidak wujud.