WASHINGTON: "Laporan mengenai kubur besar di gaza adalah sangat membimbangkan."

Timbalan urucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Vedant Patel berkata demikian berikutan pihak berkuasa Palestin melaporkan telah menemui ratusan mayat dalam kubur besar di Hospital Nasser, Khan Younis minggu ini selepas ia ditinggalkan oleh tentera Israel.

"Kami telah melihat laporan itu dan ia amat membimbangkan.

"Kami sedang menyiasat perkara ini dengan kerajaan Israel," katanya.

Pada Selasa, pekerja kesihatan Gaza menemui sekurang-kurangnya 283 mayat dalam satu kubur besar di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis.

Menurut laporan dikeluarkan Agensi Pertahanan Awam Gaza pada Isnin, petugas mereka mengeluarkan 73 lagi mayat baharu daripada kubur besar itu dan operasi masih diteruskan bagi mencari mayat yang lain.

Mayat turut dilaporkan ditemui di tapak Pusat Perubatan Al Shifa berikutan operasi pasukan khas Israel.

Ketua Hak Asasi Manusia PBB Volker Turk dalam pada itu akui turut "gerun" dengan laporan kubur besar-besaran di hospital Gaza.