Polis sedang mengkaji semula laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum membuat keputusan sama ada terdapat keperluan untuk memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, memaklumkan polis kini dalam proses mengkaji laporan itu untuk tindakan susulan.

“Berkenaan dengan 1MDB ini kita ada laporan in sebanyak 106 muka surat. Jadi kami masih lagi memerlukan masa untuk pergi ke laporan ini. Kami akan buat kenyataan bila kami sudah bersedia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan PDRM, di sini hari ini.


Khamis lalu, PAC mengeluarkan laporan kawalan pengurusan tadbir urus 1MDB setebal 106 muka surat.

Jawatankuasa itu antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.