PERMATANG PAUH: Pusat tuisyen Geniuskids komited membantu kanak-kanak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) seawal usia empat tahun menerusi pendekatan pembelajaran menyeronokkan yang ditawarkan secara fizikal dan dalam talian.
Pengurusnya, Nur Hafizah Abdul Rahman berkata, pusat berkenaan yang terletak di Taman Penanti Indah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang memberi tumpuan kepada kanak-kanak yang masih belum menguasai kemahiran asas 3M dengan menggunakan kaedah pembelajaran yang sesuai mengikut tahap perkembangan setiap murid.
Katanya, Geniuskids pada awalnya beroperasi secara fizikal sebelum memperluaskan kelas secara dalam talian ketika pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, sambutan terhadap kelas dalam talian juga amat menggalakkan sehingga jumlah pelajar yang mengikuti program secara maya kini melebihi bilangan pelajar fizikal.
Tambahnya, selain menerima penyertaan dari dalam negara, Geniuskids turut mempunyai pelajar dari luar negara yang mengikuti program pembelajaran yang ditawarkan.
"Untuk membantu kanak-kanak membaca, kami menggunakan pendekatan fun learning menerusi Kaedah Fonik Bacalah Anakku.
"Kaedah ini terbukti membantu anak-anak membaca dengan lebih cepat, tepat dan tanpa tekanan.
"Jika dahulu mereka perlu menghafal banyak perkara sehingga timbul rasa takut untuk membaca, kini dengan pendekatan yang betul, proses pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan.
"Apa yang penting ialah menarik minat mereka terlebih dahulu. Alhamdulillah, guru-guru kami juga terlatih dalam membantu setiap kanak-kanak mengatasi kesukaran membaca mengikut kemampuan masing-masing," kata Nur Hafizah.
Menurutnya, Geniuskids berhasrat menjadi pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada dengan memastikan kanak-kanak bersedia memasuki Tahun Satu serta mempunyai keyakinan tinggi hasil penguasaan kemahiran 3M.
Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan yang diraih Geniuskids pada program Pentas Jual JIWA SME 2026 baru-baru ini, Nur Hafizah berkata, ia memberi impak positif kepada keyakinan ibu bapa serta masyarakat terhadap perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan pusat berkenaan.
Katanya, pengiktirafan tersebut membuka peluang lebih luas untuk memperkenalkan program pembelajaran 3M kepada lebih ramai keluarga di seluruh negara.
"Alhamdulillah, kemenangan dalam JIWA SME baru-baru ini memberi impak yang sangat besar kepada Genius Kids, khususnya dari segi peningkatan kepercayaan ibu bapa serta masyarakat terhadap perkhidmatan yang kami tawarkan.
"Pada masa sama, pengiktirafan ini membuktikan bahawa platform seperti JIWA SME mampu menjadi peluang terbaik kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memperluaskan promosi, memperkenalkan produk atau perkhidmatan serta mengukuhkan strategi pemasaran mereka kepada khalayak yang lebih luas," jelasnya ketika ditemui di sini.
Ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program Geniuskids boleh menghubungi pusat berkenaan menerusi platform dalam talian atau media sosial rasmi geniuskidsofficials.