KUALA LUMPUR: Dua individu termasuk seorang pengarah syarikat reka bentuk dan bekas pengurus ladang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah serta penyelewengan kontrak yang dikaitkan dengan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan secara berasingan kira-kira pukul 7.00 malam dan 7.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Perintah reman terhadap kedua-duanya dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, pada Selasa selepas permohonan dibuat SPRM.
Pengarah syarikat reka bentuk terbabit direman selama dua hari sehingga Rabu, manakala bekas pengurus ladang direman tiga hari sehingga Khamis.
Menurut sumber, pengarah syarikat itu disyaki memberi rasuah kira-kira RM300,000 kepada seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun sebagai balasan membantu mendapatkan beberapa projek ubah suai bernilai keseluruhan kira-kira RM8 juta.
"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2014 dan 2018.
"Suspek dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO berkenaan yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000," katanya.
Sementara itu, bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah pula disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih kepada dua syarikat perladangan yang juga anak syarikat sebuah badan berkanun membabitkan nilai kira-kira RM8 juta.
Menurut sumber, kesalahan itu dipercayai dilakukan antara 2015 dan 2017.
"Suspek dipercayai menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan membabitkan kontrak bernilai kira-kira RM8 juta," katanya.
Kedua-dua tangkapan itu adalah susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.
Beliau berkata, kes membabitkan pengarah syarikat reka bentuk disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, manakala kes bekas pengurus ladang disiasat mengikut Seksyen 18 akta sama.