KUALA LUMPUR: Tan Sri Tommy Thomas memfailkan saman terhadap pasukan petugas khas (STF) dan kerajaan Malaysia berhubung laporan siasatan memoirnya bertajuk "My Story: Justice In the Wilderness".

Bekas Peguam Negara itu memfailkan saman itu menerusi Tetuan Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Dis lepas, selepas Mahkamah Tinggi pada 2 Okt mengarahkan supaya saman pemula difailkannya ditukar kepada saman sivil untuk didengar dan diselesaikan melalui perbicaraan penuh.

Dalam saman baharu itu, Thomas sebagai plaintif menamakan lapan ahli pasukan petugas khas iaitu Datuk Seri Fong Joo Chung, Datuk Seri Hashim Paijan, Datuk Dr Junaidah Kamarruddin, Datuk Jagjit Singh Bant Singh, Datuk Shaharudin Ali, K. Balaguru, Farah Adura Hamidi, Mohd Najib Surip dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kesembilan.

Menerusi pernyataan tuntutan, Thomas mendakwa pada 30 Sept 2022, defendan pertama hingga kelapan telah menghasilkan dan membentangkan kepada defendan kesembilan (kerajaan) mengenai 'Laporan Pasukan Petugas Khas - Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk "My Story: Justice In The Wilderess" Tulisan YHBG. Tan Sri Tommy Thomas, Bekas Peguam Negara'.

Beliau mendakwa laporan itu antaranya menyatakan kesalahannya semasa memegang jawatan sebagai peguam negara, mendedahkan rahsia-rahsia kerajaan serta campur tangan dalam badan kehakiman serta pelantikan hakim-hakim.

Thomas yang berkhidmat sebagai Peguam Negara dari Jun 2018 hingga Februari 2020, berkata Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertindak bagi pihak kerajaan ketika itu, mengarahkan agensi penguatkuasaan yang berkaitan menjalankan siasatan lanjut kemungkinan terdapat salah laku oleh beliau (Thomas).

Plaintif berkata semasa perhimpunan Barisan Nasional di Bagan Datuk pada 17 Okt 2022, Ismail Sabri secara terbuka mengumumkan bahawa beliau telah menyahklasifikasi laporan itu sebagai rahsia rasmi supaya ia boleh digunakan sebagai "peluru politik" untuk Pilihan Raya Umum Ke-15.

Thomas juga berkata Ismail Sabri telah meminta Menteri Undang-undang ketika itu untuk menerbitkan laporan berkenaan.

"Oleh itu, pelantikan defendan pertama hingga kelapan sebagai pasukan petugas khas bukan untuk tujuan siasatan tulen atau usaha mencari fakta ke atas kelakuan saya sebagai Peguam Negara tetapi sebagai 'peluru politik' bagi tujuan persendirian dan politik berkenaan dengan pilihan raya dan sebagai tindakan balas terhadap pilihan saya untuk membawa pertuduhan jenayah terhadap ahli-ahli UMNO," dakwa Thomas.

Menurut plaintif, laporan pasukan petugas khas itu adalah dokumen tanpa kuasa undang-undang kerana pelantikan serta terma-terma rujukan pasukan berkenaan tidak disokong oleh mana-mana undang-undang bertulis dan laporan itu kononnya diklasifikasikan oleh kerajaan sebagai rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sehubungan itu, plaintif memohon deklarasi bahawa laporan siasatan terhadap buku itu tidak sah serta melanggar Seksyen-seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain melanggar hak plaintif terhadap reputasinya yang dilindungi di bawah Perkara 5(1), 8(1), 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 30 Jan depan.

-- BERNAMA