Skip to main content

Sukan

Neymar bakal terlepas perlawanan pembukaan Piala Dunia Brazil menentang Maghribi

A screen displays an image of Neymar after coach Carlo Ancelotti, left, included him in Brazil's squad for the 2026 FIFA World Cup in Rio de Janeiro, Monday, May 18, 2026. (AP Photo/Silvia Izquierdo)
Neymar sering dibelenggu masalah kecederaan sejak beberapa musim kebelakangan ini. - Foto fail/AP
Advertisement

BERLIN: Penyerang prolifik, Neymar, tidak dapat beraksi dalam perlawanan pemanasan badan skuad Brazil dan dijangka terlepas aksi pembukaan kejohanan Piala Dunia menentang Maghribi, menurut doktor pasukan kebangsaan kepada pengamal media pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Neymar tiba pada Rabu di Granja Comary (pusat latihan Brazil berhampiran Rio de Janeiro), selesai menjalani semua ujian perubatan, dan disahkan mengalami kecederaan betis gred dua. 

Beliau dijangka terpaksa berehat selama dua hingga tiga minggu," kata doktor pasukan, Rodrigo Lasmar.

Brazil dijadualkan menentang Panama dalam aksi persahabatan pada Ahad, diikuti perlawanan menentang Mesir pada 6 Jun.

Perlawanan pertama mereka dalam saingan Piala Dunia menentang Maghribi pula dijadualkan berlangsung pada 13 Jun.

Neymar sering dibelenggu masalah kecederaan sejak beberapa musim kebelakangan ini, malah timbul keraguan sama ada beliau akan disenaraikan ke dalam skuad oleh Jurulatih Carlo Ancelotti selepas namanya tidak dicalonkan bagi perlawanan persahabatan awal tahun ini.

Penampilan terakhir bintang itu bersama juara dunia lima kali berkenaan adalah pada Oktober 2023 apabila beliau mengalami kecederaan  pada lututnya ketika Brazil tewas 0-2 kepada Uruguay dalam aksi kelayakan Piala Dunia..

Sejak insiden itu, Neymar -- yang telah mengumpul 128 “cap” penampilan antarabangsa -- masih bergelut untuk mendapatkan semula prestasi terbaiknya.

Kelab Arab Saudi, Al-Hilal, melepaskan beliau secara perpindahan percuma untuk menyertai semula kelab zaman kanak-kanaknya, Santos, pada Januari 2025.

-- BERNAMA-dpa

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement