Larangan debat di antara Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dibuat selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil kira faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada Selasa, ia bukan soal menyalahguna kuasa tetapi menjadi tanggungjawab menjalankan kuasa budi bicara dengan hati yang suci demi kepentingan rakyat.

Polis menggunakan kuasa mengikut Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 dan Seksyen 20 (3) akta sama yang memberi kuasa budi bicara dalam menjalankan tugas demi menjaga keselamatan dan kepentingan orang ramai.

Tambah Khalid, adalah tidak munasabah untuk mendakwa PDRM menyalahgunakan kuasa kerana sebelum ini sudah meluluskan banyak acara perbahasan dan debat yang lain.

PDRM melakukan pertimbangan sewajarnya dan bimbang dengan keselamatan pihak tertentu sekiranya perdebatan itu diteruskan.