KUCHING: Kementerian Pendidikan tidak mempunyai pilihan lain untuk menukar atau tidak membenarkan guru yang enggan divaksin daripada terlibat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

Menterinya, Datuk Radzi Jidin berkata, langkah itu diambil KPM bagi melindungi keselamatan ruang sekolah terutama sekali para pelajar.

"Kita punya prinsip asas adalah guru yang tidak divaksin tidak boleh mengajar secara bersemuka.Itu prinsip asas.

"Maknanya kalau tidak divaksin tak boleh mengajar,” ujarnya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke SMK Bandar Baru Samariang hari ini.

Susulan daripada keputusan itu, Radzi menambah, KPM akan terus memantau dan melihat kesan pengoperasian sekolah sekali gus akan melaksanakan pertukaran guru dengan segera.

"Sebagai  contoh  guru-guru yang mengajar murid berkeperluan khas ini biasanya harus  berdamping dengan murid-murid secara fizikal dan sekiranya guru tidak divaksin ia akan menganggu proses pembelajaran dan keselamatan murid-murid berkeperluan khas," ujarnya.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November ini.