Perayaan di Malaysia tidak lengkap tanpa anjuran rumah terbuka, terutamanya semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri. Sudah tentu, pada ketika ini ramai yang sudah menerima jemputan untuk menghadiri majlis-majlis rumah terbuka.

Tidak kira sama ada rumah terbuka itu dianjurkan oleh pemimpin negara, keluarga tersayang atau jiran tetangga, tingkah laku harus dijaga untuk mengelakkan gambaran yang tidak baik daripada tetamu.

Berikut adalah 6 larangan yang perlu dipatuhi ketika menghadiri rumah terbuka;


1. Berpakaian sopan & tutup aurat

Hormatilah tuan rumah dengan orang di sekelilingi dengan memakai pakaian yang bersesuaian. Etika pakaian ketika menghadiri rumah terbuka adalah perkara yang penting. Elak daripada menggunakan pakaian yang menjolok mata ataupun T-shirt yang mengandungi perkataan yang tidak senonoh.


2. Jangan ketawa kuat

Janganlah ketawa sampai satu dunia boleh dengar! Anda perlu berkelakuan lebih sopan agar orang lain tidak terganggu dengan kerenah anda.


3. Jangan berbisik di hadapan tetamu lain

Ini merupakan antara perkara utama terutamanya bagi golongan gadis muda. Jangan berbisik dan ‘mengedik’ di hadapan tetamu kerana perbuatan itu akan menimbulkan perasaan tidak selesa atau mungkin akan menimbulkan kemarahan seseorang.


4. Jaga adab makan

Adab makan perlu dijaga dan janganlah makan secara berlebihan. Jangan bersikap gelojoh, dan juga janganlah 'tapau' makanan yang disediakan sehingga semua tetamu yang hadir selesai menjamu selera.


5. Jangan membiarkan anak anda berkeliaran dan usik barang milik orang lain

Jangan membiarkan anak-anak kecil berkeliaran di rumah tetamu sehingga mereka mengusik barang milik orang lain. Anda perlu mengawasi perangai anak anda dan jangan lupa, ganti rugi merupakan bayaran jika anak anda merosakkan barang milik tetamu.


6. Jangan duduk kangkang

Jaga cara duduk anda, jangan sampai berkangkang di rumah terbuka kerana perbuatan itu tidak senonoh untuk dipandang.

Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada kami di Astro AWANI.