KOTA KINABALU: Seramai 69 penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya yang telah melarikan diri bagi mengelak berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) digesa untuk kembali dalam kadar segera.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata langkah ini penting bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain.

"Balai Polis Pulau Gaya pada ketika ini juga sedang mempergiat usaha mengesan semua 69 suspek yang dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan penduduk dari Kampung Pondo, Pulau Gaya yang mengelak daripada dikenakan PKPD digesa supaya menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis terdekat," katanya.

Tambah beliau, sekiranya mereka gagal untuk kembali atau jika ditangkap pihak berkuasa, mereka boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan akan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021.

Sebelum ini, Kampung Pondo telah diletakkan di bawah PKPD bermula 30 Jun lalu sehingga 13 Julai ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata sebanyak 225 kes baharu direkodkan hari ini.

Satu kluster baru turut dikesan melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja, iaitu Kluster Agora Borneo.

"Kes indeks adalah pembantu jualan wanita, 24 tahun, dari Kg Lokub, Kota Kinabalu disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Manggatal pada 30 Jun, selepas bergejala sejak 20 Julai.

Jelas Masidi, wanita itu telah pun dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Katanya, setakat ini, daripada 133 sampel yang diambil dalam kalangan kontak rapat, sebanyak 26 sampel telah dikesan positif, 57 adalah negatif manakala 50 lagi sampel sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Siasatan awal mendapati penularan dipercayai telah merebak di tempat kerja hingga ke generasi kedua iaitu ahli keluarga.

Tambah Masidi, pengesanan kontak secara aktif sedang giat dijalankan oleh pasukan kesihatan.