Lata Keding, Bukit Kudung, di Kampung Gemang, di sini, mungkin tidak begitu dikenali ramai, namun ia menyimpan seribu khazanah, flora dan fauna.

Bukit Kudung misalnya menyimpan pelbagai rahsia sejarah yang tidak diketahui ramai orang antara yang pernah diceritakan memilik kubu yang menjadi tempat persembunyian komunis suatu ketika dahulu.

Di sebalik keindahan Bukit Kudung yang setinggi 448 meter itu juga terdapat batu sempadan yang yang dikenali sebagai Batu 73 yang bersempadan dengan negara Thailand sejauh 2.3 kilometer.

Namun begitu, keindahan Bukit Kudung tidak akan dikenali ramai sekiranya Kamaruddin Awang, 42 tahun, tidak mengambil inisiatif meneroka kawasan terbabit selepas membeli tanah kebun di kawasan itu.





Beliau berkata, kawasan itu pada mulanya mahu dibina rumah, namun disebabkan kawasan yang menarik dia memilih untuk membangunkan pusat rekreasi yang dikenali sebagai Lalang's.

"Selepas melihat kawasan ini, dengan air terjun yang jernih, dan kawasannya yang cantik, saya fikir apa salahnya bangunkan untuk tujuan pelancongan," katanya.





Malah, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, turut mengagumi keindahan Lata Keding dan Bukit Kudung apabila berpeluang mendaki baru-baru ini.

Katanya, tempat terbabit sesuai untuk dijadikan kawasan rekreasi terbaru untuk menarik pelancong datang ke negeri ini terutamanya Jeli.




"Laluan mendaki yang agak mencabar selain keindahan alam semula jadi yang tidak terusik menjadikan tempat ini unik dan sesuai untuk warga kota menghilangkan tekanan bekerja.

"Pengalaman pertama mendaki Bukit Kudung, memang menyeronokkan dan saya sendiri berterima kasih kepada Kamaruddin kerana mengusahakan kawasan ini dan berharap ia akan menjadi satu lokasi yang wajib dilawati bagi pelancong dari dalam dan luar negara sedikit masa lagi," katanya.




Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) negeri Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud berkata, usaha Kamaruddin itu wajar dipuji kerana mewujudkan satu pusat rekreasi yang menarik.

"Saya ada berbincang dengan pemilik tempat ini dan berikan beberapa panduan kepada beliau, Insya-Allah ia akan menjadi lebih menarik satu masa nanti," katanya.