Bekas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah hari ini menafikan dirinya termasuk empat lagi individu telah digugurkan dari menjadi pembantu politik Datuk Seri Najib Razak.

Latt ketika dihubungi Astro Awani memberitahu beliau telah pun meletakkan jawatan tiga bulan lalu bagi membolehkan dirinya bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu.

“Saya hairan kenapa perkara ini diulang-ulang sedangkan saya sudah pun letak jawatan... dah tiga bulan dah.,” kata beliau.

Jelasnya, pertandingan beliau dalam PRU13 adalah atas tiket ketua bahagian iaitu sebagai ketua bahagian Umno Kuala Kedah dan bukanlah kerana beliau penasihat atau pegawai PM.

“Saya bertanding atas tiket ketua bahagian Umno... dan saya memang layak pun,” tegas Latt.

Beliau memberitahu, tugas beliau sebelum ini hanyalah sebagai pegawai Perdana Menteri ketika Parlimen bersidang dan bertugas di bawah Kementerian Kewangan.

Beliau turut menafikan dirinya serta empat lagi yang lain telah terlibat dalam menasihati PM dalam strategi PRU13 yang lalu.

“Tak ada isu pun... yang menasihat PM bukan kami, tetapi penasihat ‘war room’ nya,” kata beliau.

Baru-baru ini, sebuah portal berita tempatan telah melaporkan bahawa Perdana Menteri akan menyingkirkan kesemua pembantu politiknya atas prestasi mereka yang dikatakan ‘kurang memberangsangkan’.

Latt bersama-sama dengan Datuk Shahlan Ismail, Datuk Mohd Shafei Abdullah, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan Datuk Mohamed Suffian Awang baru-baru ini telah disenaraikan dalam laporan tersebut akan digugurkan kerana ‘meletakkan kepentingan diri melebihi Perdana Menteri’.

Terdahulu, bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, dalam satu wawancara akhbar berbahasa Cina, China Press, membidas penasihat-penasihat PM yang menjadi salah satu faktor BN kalah teruk di dalam PRU-13.

Tun Daim dalam kenyataan beliau telah mendesak Najib Razak memecat penasihat-penasihat tersebut.

Katanya BN kalah dalam pilihan raya 5 Mei kerana kesilapan strategi digunakan oleh penasihat Perdana Menteri serta pergaduhan dalaman parti.