Ketika insan lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, keseronokan itu tidak dirasai Che Nolia Nayan, 36, dan keluarganya yang menetap di Kampung Bukit Kuang, Gurun, Kedah.

Sambutan hari raya bagi Che Nolia dan suaminya serta lima anak mereka sama seperti hari biasa di dalam rumah kecil yang kurang sempurna didiami keluarga itu sejak beberapa tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Che Nolia hilang pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu, yang menyebabkan restoran tempatnya bekerja ditutup.

"Sekarang ini saya tolong orang berniaga, ambil upah di pekan Gurun... tapi gaji bulan puasa murah sikit sebab masa bekerja kurang tidak seperti hari biasa," katanya.

Katanya, suaminya Mohd Fazli Mad Zin, 35, pula hanya mengambil upah membina rumah dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Che Nolia berkata, mereka biasanya makan nasi berlaukkan telur goreng dan berkuah kicap kerana tiada wang untuk membeli ikan, ayam mahupun daging untuk dijadikan lauk.

 Kehidupan keluarga ini menjadi lebih sukar selepas Che Nolia tidak dapat bekerja seperti biasa sejak PKP dilaksanakan Mac lalu.

"Sepanjang Ramadan ini mujur ada penduduk kampung yang prihatin dengan nasib kami dan datang menghulurkan makanan. Dapatlah kami mengalas perut," katanya.

Meskipun melalui kesukaran, kelima-lima anaknya Norshazwani Afikah, 12; Norshamimi Atikah, 9; Rabiatul Adawiyah, 7; Mohammad Saifullah, 6; dan Mohammad Mustakim, 3, tidak pernah merungut dan meminta-minta kerana memahami kesusahan ibu dan bapa mereka.

Prihatin dengan nasib yang ditanggung keluarga Che Nolia, Yayasan Prihatin Nusantara (YPN) tampil menghulurkan bantuan bagi memberi sedikit sinar Syawal kepada keluarga ini.

Menurut, Pengarah Kebajikan YPN, Mohammed Firdaus Johari, selain bantuan keperluan harian, pihaknya akan membantu membina semula rumah didiami keluarga ini yang lengkap dengan bekalan elektrik.

"Kita akan fokus kepada anak-anak mereka dan kita akan cuba dapatkan keperluan seperti pakaian dan keperluan asas lain.

"YPN juga akan cuba berbincang dengan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pihak lain supaya kita boleh perbaiki rumah seterusnya menjadikannya lebih selesa," katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Che Nolia (02084020538696) atau menghubunginya di talian 013-6109410.