DOHA: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ibu negara Qatar mulai esok dijangka memperhebat hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar yang kini memasuki ulang tahun ke-50 selain meneroka peluang pelaburan baharu antara keduanya.

Lawatan itu bagi memenuhi jemputan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani selain menghadiri Forum Ekonomi Qatar 2024.

Duta Besar Malaysia di Qatar Zamshari Shaharan menyifatkan lawatan sulung Perdana Menteri itu sebagai satu permulaan yang baik bagi kedua-dua negara, bukan sahaja mempererat hubungan baik selama 50 tahun malah juga meneroka kerjasama baharu untuk 50 tahun akan datang.

"Malaysia dipandang tinggi oleh Qatar sebagai antara negara Islam progresif dan moden yang telah mencapai kejayaan ekonomi yang mengagumkan selama ini," katanya kepada pemberita semasa sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri di Kedutaan Malaysia di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan pada forum ekonomi itu dilihat signifikan memandangkan Malaysia turut diberikan pentas menerusi sesi 'In Coversation with Prime Minister Anwar Ibrahim' selama 30 minit untuk berinteraksi dengan peserta forum meliputi peserta industri di Qatar serta delegasi kerajaan.

"Selain itu, kehadiran Anwar pada perjumpaan meja bulat bersama 30 wakil syarikat Qatar, akan memberi kesempatan kepada beliau menjelaskan keadaan ekonomi negara dan bentuk insentif atau inisiatif yang kita boleh tawarkan jika melabur di Malaysia.

"Qatar juga berminat untuk menarik pelaburan masuk antaranya dengan mengadakan usaha sama dengan syarikat Malaysia dan bertapak di Qatar, selari dengan visi kerajaan Qatar," katanya.

Zamshari berkata antara sektor yang berpotensi di Qatar adalah tenaga boleh baharu.

Pada tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Qatar mencecah RM4.3 bilion dan aliran itu dijangka meningkat susulan lawatan rasmi kali ini.

Tahun lepas, eksport utama Malaysia ke Qatar ialah produk besi dan keluli sebanyak 37.2 peratus; jentera, kelengkapan dan peralatan (16.5 peratus); produk minyak sawit dan pertanian berasaskan minyak sawit (8.5 peratus) manakala selebihnya ialah makanan diproses serta produk elektrik dan elektronik.

Sementara itu, import Malaysia dari Qatar terdiri daripada produk petroleum (47.4 peratus), petroleum mentah (31.5 peratus); kimia dan produk kimia (10.5 peratus), barangan perkilangan logam (9.3 peratus) dan produk perkilangan berasaskan minyak sawit (0.3 peratus).

-- BERNAMA