BEIJING: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China yang dijadual bermula pada 29 Mac hingga 1 April ini bakal menyaksikan sejumlah pelaburan besar dibawa masuk ke dalam negara.

Ia termasuk sekurang-kurangnya 14 Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani membabitkan kerajaan kepada kerajaan (G2G) dan perniagaan kepada perniagaan (B2B), sekali gus memberi manfaat dalam sektor ekonomi, perdagangan serta pertanian.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, 11 MoU akan dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan China selepas Perdana Menteri mengadakan Mesyuarat Meja Bulat bersama pelabur-pelabur berprofil tinggi dan tokoh korporat China pada 1 April.

Sementara, tiga lagi melibatkan peringkat kementerian dimeterai pada petang hari sama sejurus selesai Mesyuarat Dua Hala antara Anwar dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri China, Li Qiang.

"Perbincangan kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada perincian langkah-langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

"Dijangka mereka (Anwar dan Qiang) akan menyentuh projek-projek tertentu yang mengukuhkan lagi hubungan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.

"Saya tidak akan mengumumkan jumlahnya (pelaburan daripada 14 MoU) tetapi boleh saya sebut bahawa jangkaan daripada itu agak besar. Biarlah Perdana Menteri sendiri yang umum kerana itu menjadi kenyataan yang akan dikeluarkan oleh beliau berdasarkan kefahaman MoU yang akan ditandatangani," katanya dalam sidang media sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke China, di sini pada Selasa malam.

Mengulas lanjut, Zambry berkata kementerian yang akan memeterai MoU masing-masing adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan dari China; serta dua MoU daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

Bagi MITI, ia melibatkan Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Memperluaskan dan Memperdalamkan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan.

Manakala MAFS pula adalah Protokol Keperluan Fitosanitasi untuk Pengeksportan Nangka ke China antara Pentadbiran Am Kastam China; serta Protokol Kuarantin dan Keperluan Kesihatan untuk Import Makanan Akuakultur dari Malaysia ke China.

Dalam masa yang sama, Zambry tidak menolak bahawa perbincangan mengenai pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan turut dibincangkan, selain usaha merancakkan lagi sektor pelancongan antara kedua-dua negara termasuk melibatkan pengurusan visa.

"Salah satu perkara yang sangat mustahak ialah membina persefahaman baharu dalam konteks bagaimana mewujudkan persekitaran bersama, yang saya maksudkan di sini ialah bagaimana Malaysia dan China dapat bersama-sama membina kemakmuran. Seperti dibawa oleh Presiden China, Xi Jinping tentang 'shared future', dan dalam konteks Malaysia ialah Malaysia Madani.

"Dari segi nilai-nilai kebersamaan yang dibawa, sebagai contoh dalam konteks mewujudkan sikap saling hormat-menghormati dan prinsip-prinsip ihsan.

"Perbincangan sudah sampai kepada tahap bagaimana dapat membina satu tahap saling hormat-menghormati antara satu sama lain, berdasarkan kepada prinsip yang dibawa atas nama Malaysia Madani, dan juga apa yang dibawa oleh Jinping tentang 'shared future'," ujar Zambry.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan dijangka tiba di Hainan pada pukul 5 petang hari ini bagi menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia (BFA).

Beliau akan menyampaikan ucapan semasa sesi pembukaan plenari forum tersebut pada pagi 30 Mac bertemakan "An Uncertain World: Solidarity and Cooperation for Development Amid Challenges".

Ia merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke China sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.