KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan berada dalam keadaan terkawal susulan kehadiran orang ramai di kawasan pintu masuk Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, pada Jumaat.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya telah mengatur penugasan anggota dan pegawai di lokasi berkenaan bagi melaksanakan kawalan keselamatan serta pemantauan rapi bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal dan tidak menjejaskan ketenteraman awam.
Beliau berkata, langkah itu diambil selaras dengan tanggungjawab PDRM di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 bagi memelihara keamanan, keselamatan serta mencegah sebarang pelanggaran undang-undang.
Katanya, PDRM turut menerima satu salinan perintah mahkamah berkaitan perkara berkenaan pada 5 Jun 2026 dan pihak polis menghormati proses perundangan yang sedang berjalan serta akan melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“PDRM ingin menegaskan kehadiran polis di lokasi adalah semata-mata untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan pematuhan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang, mematuhi undang-undang serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau proses yang sedang berlangsung.
Katanya, keadaan di lokasi setakat ini adalah terkawal dan pihak polis akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara.