Lawatan Modi ke Malaysia dilihat peluang luaskan perdagangan, kerjasama serantau

Lawatan membolehkan kedua-dua pemimpin memperkukuh lagi hubungan muhibah yang terjalin semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi pada Ogos 2024. - Gambar fail/Bernama
NEW DELHI: Lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia pada hujung minggu ini dilihat menawarkan peluang untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan kerjasama serantau di tengah-tengah peralihan kuasa global.
India dan Malaysia menikmati hubungan rapat serta pelbagai dimensi, namun masih terdapat ruang luas untuk memperkukuh kerjasama dalam teknologi baharu muncul, industri semikonduktor, pendidikan tinggi, tenaga serta menggalakkan hubungan sektor swasta, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa.
"Ini merupakan lawatan penting bagi Malaysia kerana ia membolehkan kedua-dua pemimpin memperkukuh lagi hubungan muhibah yang terjalin semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi pada Ogos 2024," katanya kepada Bernama pada Rabu.
Hubungan Malaysia-India telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif semasa lawatan Anwar itu.
"Dalam persekitaran global semasa, adalah penting untuk mempunyai hubungan yang stabil. Malaysia dan India merupakan rakan kongsi yang boleh dipercayai serta berkongsi pandangan yang sama mengenai banyak isu serantau dan antarabangsa," katanya.
"Dengan tumpuan kukuh India terhadap isu perdagangan dan ekonomi dalam penglibatannya dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Malaysia boleh menjadi pintu masuk kepada syarikat India dalam aspirasi serantau mereka.
"Begitu juga, kami menggalakkan syarikat Malaysia memanfaatkan pasaran India yang besar," tambah Muzafar.
Lawatan dua hala Perdana Menteri India ke Malaysia menandakan kepentingan Kuala Lumpur yang semakin meningkat dalam Dasar Tindakan ke Timur India dan dijangka memuncak dengan peluasan hubungan ekonomi serta strategik antara kedua-dua negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif badan pemikir Centre for Global India Insights, Manish Chand yang berpusat di Delhi.
Chand berkata di tengah-tengah peralihan pakatan kuasa global, Anwar telah meletakkan ASEAN sebagai pemain utama di Selatan Global serta kuasa yang semakin meningkat, khususnya ketika Malaysia mempengerusikan blok serantau 11 anggota itu pada 2025.
Lawatan rasmi terakhir Modi ke Malaysia adalah pada November 2015, apabila selain penglibatan dua hala, beliau turut menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
Perdana Menteri India itu juga membuat persinggahan singkat di Malaysia pada Mei 2018 semasa lawatan berjadual ke rantau ini.
Lawatan beliau ke Malaysia hujung minggu ini berlangsung beberapa bulan selepas Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur, yang tidak dapat dihadiri Modi secara fizikal tetapi disertainya secara maya.
Modi dijangka mengemukakan cadangan untuk meningkatkan pelaburan Malaysia dalam sektor infrastruktur India dan dari sudut strategik, kedua-dua pihak akan membincangkan peluasan kerjasama keselamatan, kata Chand.
"Selain isu dua hala, perbincangan lebih luas mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam membentuk orde antarabangsa berasaskan peraturan serta mempromosikan kepentingan dan aspirasi Selatan Global," kata penganalisis India itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


