Lelaki didakwa cuba sebabkan kematian, simbah petrol terhadap bekas teman wanita

S. Parthiban mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan cuba menyebabkan kematian dengan cara menyimbah petrol terhadap bekas teman wanitanya dan membakar kereta wanita itu, minggu lepas. - Foto Bernama
KAJANG: Seorang pegawai makmal perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan cuba menyebabkan kematian dengan cara menyimbah petrol terhadap bekas teman wanitanya dan membakar kereta wanita itu, minggu lepas.
S. Parthiban, 43, didakwa telah mencurahkan petrol ke badan bekas teman wanitanya yang berusia 43 tahun dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Duda satu anak itu turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan khianat menggunakan minyak petrol dengan membakar sebuah kenderaan milik wanita itu sehingga menyebabkan kerosakan, mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan sebuah kediaman di Bandar Teknologi Kajang, Hulu Langat, dekat sini, pada 3.20 petang, 30 Jan lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan cubaan membunuh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
"Sekiranya mahkamah berhasrat untuk memberikan jaminan, mohon jumlah jaminan yang tinggi kira-kira RM10,000 untuk setiap pertuduhan serta beberapa syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain melaporkan diri sebulan sekali ke balai polis terdekat sehingga kes selesai," katanya.
Parthiban yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia menanggung seorang anak perempuan berusia sembilan tahun daripada perkahwinan terdahulu.
Hakim Khainur Aleeza Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 10 April ini untuk sebutan semula kes.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


