Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual tiba di sini esok untuk lawatan kerja dua hari dalam rangka mengeratkan lagi hubungan kerjasama dua hala Malaysia-Indonesia.

Indonesia bukan sahaja merupakan rakan dagangan utama bagi Malaysia, malah menjadi tumpuan sejumlah pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti dalam pelbagai jurusan.

Dalam lawatan kali ini, Muhyiddin antara lain dijadual merasmikan Dewan Malaysia Jakarta, di Jalan Hos Cokroaminoto, Jakarta Pusat serta berucap di forum meja bulat Gerakan Kesederhanaan Global.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Hassan berkata lawatan Muhyiddin kali ini mempunyai signifikan dalam konteks hubungan di peringkat kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

Pembukaan Dewan Malaysia Jakarta di ibu negara Indonesia ini, merupakan satu lagi mercu tanda hubungan erat antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia, yang sekali gus mempamerkan bagaimana Indonesia mengalu-alukan kehadiran Malaysia di negara ini, katanya dalam sidang akhbar di sini, Ahad.

Forum meja bulat Gerakan Kesederhanaan Global pula menghimpunkan sejumlah intelek dan cendekiawan Islam dari Malaysia dan Indonesia untuk membincangkan perkembangan dunia akademik dan Islam.

Muhyiddin juga dijadual menyampaikan sumbangan kewangan kepada pelajar Malaysia di Jakarta dan Makassar yang terlibat dalam banjir baru-baru ini pada acara Jamuan Malam Bersama Rakyat Malaysia di Jakarta pada Isnin malam.

Sejumlah 6,400 pelajar Malaysia sedang menuntut di beberapa buah universiti di Indonesia, yang sebahagian besarnya ditaja pengajian mereka oleh kerajaan, khususnya dalam bidang perubatan.

Timbalan Perdana Menteri akan diiringi Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam lawatan ini.