IPOH: Lebih 1,000 pegawai dan anggota polis ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Perak bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ekoran pembukaan semula sekolah rendah hari ini.

Lebih 100,000 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di 825 sekolah rendah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka, separuh daripada jumlah keseluruhan murid.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti  Perak, SAC Noorzainy Mohd Noor berkata, pemantauan turut melibatkan pegawai perhubungan sekolah, anggota trafik, unit peronda MPV dan Unit Ronda Bermotosikal (URB).

"Kita juga akan memantau waktu balik dari sekolah.

"Sebab, saya difahamkan oleh pihak Jabatan Pendidikan, apabila balik dari sekolah, pelajar-pelajar ataupun ibu bapa dalam keadaan hendak cepat, jadi kadang-kadang mereka lupa bahawa mereka perlu patuh SOP.

"Dan daripada pemantauan awal yang kita buat, memang awal pagi ibu bapa patuh SOP," katanya yang ditemui selepas Program Pemantauan SOP COVID-19 Bersama Pengurusan Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue dan Program Kembali ke Sekolah hari ini.

Sesi persekolahan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di Perak menggunakan format penggiliran di mana murid dibahagikan kepada dua kumpulan, A dan B.

Minggu ini, murid kumpulan A akan hadir ke sekolah manakala kumpulan B akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Murid dari kumpulan B akan hadir ke sekolah minggu hadapan dan kumpulan A menjalani sesi PdPR.